Mata meliar ke kiri, kanan jejaki tandas jam 3 pagi

- Advertisement -

Oleh ASLANI M

“MAKCIK
suka tinggal di sini. Suasana tenteram. Kami boleh solat berjemaah setiap waktu. Boleh juga mengikuti pembelajaran al-Quran dan pengajian agama,” kata sekumpulan warga emas.

Mereka menginap di rumah warga emas yang disediakan di Kompleks Tahfiz al Quran al-Qaradhawi (KOMTAQ) Kerdau, Temerloh. Deretan rumah mereka hanya dipisahkan dengan dinding konkrit.

Setiap rumah tumpangan itu boleh memuatkan seorang penghuni. Taman warga emas itu hanya dipisahkan kawasan lapang dengan masjid. Ada laluan khas untuk mereka berjalan ke masjid.

Laluan itu baru disiapkan, disumbang anak seorang warga emas yang tinggal di situ. Anak warga emas terbabit merupakan seorang kontraktor. Kosnya pemasangan batu merah lebih RM10,000. Laluan itu bermula dari rumah warga emas ke masjid.

- Advertisement -

Kebanyakan warga emas yang meneruskan usia emas di situ berasal dari Pahang. Rata-rata mereka perempuan. Daripada seramai 30 warga emas yang menghuni rumah pondok di KOMTAQ hanya dua lelaki. 

Seorang daripada warga emas lelaki berasal dari Kelantan, namun dia sudah lama menetap di Pahang. Biarpun usianya sudah lanjut, namun masih mampu memandu kenderaan.

Seorang lagi warga emas lelaki kini tinggal bersama anaknya kerana keuzuran. Ada juga warga emas perempuan dibawa pulang anaknya kerana masalah kesihatan. 

Rata-rata warga emas yang ditemui berusia lebih 70 tahun. Malah ada juga usia melewati lapan siri. Biarpun begitu mereka kelihatan masih gagah. Berjalan kaki ke masjid setiap kali waktu solat.

Berjalan bersama rakan-rakan ke masjid sambil bersembang. Jelas keseronokan jelas terbayang di wajah mereka yang berkedut seribu. Malah ada dalam kalangan mereka menggunakan skuter elektrik bertayar tiga. Ia memudahkan pergerakan warga emas yang keuzuran.

Kenderaan itu disediakan anak-anak untuk memudahkan ibu mereka berulang-alik ke masjid. Ada juga dalam kalangan mereka tinggal di situ ketika KOMTAQ mula beroperasi.

“Hendak masuk ke sini bukan mudah. Ustaz buat tapisan. Ramai yang mahu menetapkan di sini, namun ia perlu melalui tapisan terlebih dahulu,” katanya seorang warga emas.

Mereka ghairah menceritakan keseronokan di usia senja. Biarpun sunyi daripada riuh rendah anak dan cucu, namun kebahagiaan dirasai apabila dapat menimba ilmu agama ketika hayat masih dikandung badan.

Setiap unit rumah pondok dikenakan bayaran RM50 sebulan. Manakala bagi unit rumah yang dilengkapi penghawa dingin pula RM100. Mereka memasak sendiri di situ.

KOMTAQ dilengkapi pelbagai kemudahan. Terdapat juga rumah tetamu, pejabat pentadbiran, bangunan kelas, dewan, auditorium, asrama pelajar lelaki dan asrama pelajar perempuan.

Lubuk patin

Selain itu asrama terbuka (dorm) bagi pengunjung lelaki. Terdapat juga bangunan dua tinggal yang dijadikan rumah guru, rumah mudir, padang bola dan gelanggang sukan.

KOMTAQ terletak di tebing Sungai Pahang. Dibangunkan di kawasan seluas 7 ekar. Pembangunan KOMTAQ sehingga sekarang melibatkan kos kira-kira RM7 juta.

“Tanah di situ diwakaf penduduk tempatan. Dana pembangunan KOMTAQ hasil sumbangan orang ramai,” kata mudirnya Ustaz Kamal Ashaari.

Ustaz Kamal Ashaari

Sehingga sekarang terdapat 26 pelajar. Selain itu terdapat 23 kakitangan termasuk tenaga pengajar. Tenaga sukarelawan dari luar juga sering datang menabur bakti.

Seorang guru pencen dari Jerantut datang setiap hari minggu bersama rakannya memotong rumput di KOMTAQ. Beliau berkhidmat secara sukarela.

Pelajar dikenakan yuran RM150 sebulan. Mereka disediakan makanan lima kali sehari. Malah pada Ramadan lepas lima pelajar Komtaq mengikuti program hafazan Al Quran dengan kerjasama Masjid Nabawi selama sebulan.

Setiap pagi sebelum masuk waktu Suboh mereka mengalunkan bacaan al Quran. Pelajar juga membaca surah Yaasin beramai-ramai sebelum solat Suboh. Mereka bergilir-gilir menjadi imam dan muazin.

Suasana itu turut dikongsi warga kerja Harakah. Seramai 40 kakitangan Harakah dari seluruh negara menimba pengalaman menginap di KOMTAQ. Tiga hari dua malam berkampung di situ.

Bagi kakitangan lelaki mereka menimba pengalaman tidur di dorm dan mandi di kolah. Ada rakan wartawan terkenang ketika menginap di asrama semasa di bangku sekolah.

KOMTAQ di kelilingi kebun sawit dan kebun milik penduduk. Suasana malam begitu sunyi. Menjejaki tandas yang terletak di luar dorm jam 3 pagi menyebabkan mata meliar ke kiri dan kanan.

Di hadapannya mengalir Sungai Pahang yang menjadi lubuk ikan patin. KOMTAQ akhirnya kami tinggalkan petang selepas berkampung membincangkan hala tuju Harakah.

Kami berusaha meneruskan kelangsungan Harakah, satu-satunya akhbar politik Islam yang masih bertahan sehingga sekarang. Ia muncul pada 1987. – HARAKAHDAILY 23/5/2022

- Advertisement -