Solat dan rezeki

- Advertisement -

SEORANG suami adalah pentadbir kepada keluarganya, penasihat kepada isterinya dan contoh teladan kepada anak-anaknya.

- Advertisement -

Dalam al-Quran, Allah S.W.T memberikan suruhan kepada ketua keluarga agar menyuruh ahli keluarganya menunaikan solat. Suruhan ini boleh dilihat pada firman Allah S.W.T:

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ

“Dan perintahkanlah keluargamu untuk mengerjakan solat, hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”

[Taha: 132]

Kalau kita perhatikan, Allah S.W.T meletakkan arahan mengerjakan solat kemudian Allah S.W.T menyebutkan mengenai rezeki. Ini menunjukkan hubung kait di antara keduanya. Imam Ibn Kathir berkata: “Iaitu sekiranya engkau bersabar mendirikan solat, Allah akan mengurniakan kamu rezeki dalam keadaan yang kamu tidak sangka-sangka.” [Tafsir Ibn Kathir, 5/357].

A-Imam al-Qurtubi berkata: “Setelah turunnya ayat ini, Rasulullah akan singgah pada setiap pagi di rumah anaknya Saidatina Fatimah dan Saidina Ali untuk bertanya adakah mereka sudah menunaikan solat. Perhatikan bagaimana sekalipun anak tersebut telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai suami, Rasulullah masih mengingatkan anaknya supaya menunaikan solat.” [Al-Jami Li Ahkam al-Quran, 11/263].

Suami yang soleh akan pastikan isteri dan anak-anaknya menunaikan solat serta tidak membiarkan mereka jauh daripada perintah Allah S.W.T. Jangan sesekali jemu bertanyakan anak mengenai solat supaya mereka tahu bahawa solat adalah perkara yang paling utama dalam kehidupan mereka dan dapat melapangkan rezeki mereka.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 19/5/2022

- Advertisement -