Suami baik, keluarga bahagia

- Advertisement -

DALAM hidup ini, semua yang bergelar suami dan bapa pasti mahukan keluarga bahagia di mana isteri dan anak-anaknya memiliki budi pekerti yang mulia dan berjaya dalam hidup, bukan saja di dunia tetapi lebih-lebih lagi di akhirat nanti. Hendak mencapai cita-cita ini, suami ataupun bapalah yang perlu menjadi manusia contoh dan berbuat baik dengan keluarganya.

- Advertisement -

Rasulullah S.A.W bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها قَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لأَهْلِى.

“Daripada Aisyah R.A, katanya: Rasulullah S.A.W bersabda: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik (hubungannya) dengan ahli keluarganya, dan aku adalah yang paling baik di antara kamu kepada keluargaku.””

[Riwayat al-Tirmizi (3895). Hadis Hasan Sahih]

Hadis ini menganjurkan orang lelaki khususnya para suami untuk berbuat baik kepada ahli keluarga iaitu isteri, anak-anak dan kaum kerabat. Syeikh Muhammad al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata: “Berbuat baik kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain, (maksudnya) berbuat baik kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya.” [Tuhfat al-Ahwazi, 10/269].

Seorang suami dan ayah yang berakhlak mulia, lemah lembut, ringan tulang membantu serta mengasihi isteri dan anak-anak akan melahirkan keluarga yang bahagia. Kita jadikan diri kita orang yang paling baik dengan ahli keluarga kita dan berdoalah agar Allah jadikan keluarga kita penyejuk mata dan penenang jiwa.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 18/5/2022

- Advertisement -