YIK sediakan SOP pembelajaran secara bersemuka

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

TUMPAT: Yayasan Islam Kelantan (YIK) turut menyediakan prosedur operasi standard (SOP) sebagai panduan kepada pelajar mengikuti pembelajaran secara bersemuka di sekolah sekarang.

Pengarahnya, Engku Rajhan Engku Ismail berkata, SOP terbabit hampir sama dengan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Katanya pada fasa endemik sekarang pelajar dibenarkan hadir mengikuti pembelajaran secara bersemuka.

- Advertisement -

“Tetapi kita perlu ingatkan pelajar terhadap pematuhan beberapa SOP. Contohnya memakai pelitup ketika berada di bilik tertutup kecuali ketika berada di dewan terbuka.

“Ia sebagai pilihan sama ada mahu memakai atau sebaliknya pelitup ketika berada di tempat terbuka,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan majlis penyampaian Watikah Badan Kepimpinan Sekolah Menengah Ugama (Arab) Bustanus Saadah, Morak dekat sini hari ini.

Hadir sama mudir sekolah berkenaan Wan Mohd Fakhrulrazi Wan Ismail.

Engku Rajhan turut mengingatkan pelajar supaya sentiasa membasuh tangan kerana ia sebahagian kaedah untuk menjaga kebersihan diri dan mengelak jangkitan Covid-19.

Menurut juga YIK mengambil langkah berjaga-jaga terhadap penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sekarang.

“Untuk itu semua pelajar diminta sentiasa menjaga kebersihan diri dan alam sekitar khususnya tempat belajar bagi mengelak penyakit berkenaan.

“Lebih-lebih lagi sekarang wabak Covid-19 masih belum bebas sepenuhnya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 17/5/2022

- Advertisement -