Bomba Selangor berjaya gagalkan 32 cubaan bunuh diri

SHAH ALAM: Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia (JPBM) Selangor menerima sebanyak 38 panggilan berhubung kes cubaan bunuh diri sejak awal tahun ini hingga semalam, dan daripada jumlah itu pihak bomba berjaya menggagalkan 32 cubaan.

Pengarah JPBM Selangor Norazam Khamis berkata enam lagi kes menyaksikan individu yang terlibat tidak dapat diselamatkan, dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Advertisement

Beliau berkata pihaknya memandang serius dengan kekerapan panggilan berkenaan cubaan bunuh diri yang boleh dikatakan agak tinggi, menjangkau hampir setiap minggu, dan kebanyakan mereka yang terlibat didapati menghadapi masalah berkaitan percintaan, mental dan kewangan.

“Ini kita tahu ketika proses memujuk dan menenangkan mereka… majoriti daripada mereka adalah warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun,” katanya pada pemberita di Majlis Jalinan Mesra Aidilfitri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor di sini hari ini.

Sementara itu mengulas pengumuman Jabatan Meteorologi mengenai Monsun Barat Daya yang dijangka melanda negara dari 5 Mei hingga September ini mengakibatkan taburan hujan dijangka rendah, Norazam berkata pihaknya sedang giat melakukan pemantauan di kawasan-kawasan titik panas pembakaran terbuka sekitar Selangor dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Antara lokasi lebih kerap dilakukan pemantauan ialah kawasan di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Kuala Langat; kawasan hutan di Bestari Jaya, Kuala Selangor dan kawasan pertanian Johan Setia di Klang,” katanya. – BERNAMA