Institusi tahfiz dan pondok melahirkan aset berharga

- Advertisement -

SEMASA menyampaikan Titah Diraja ketika Majlis Berbuka Puasa di Daerah Jerantut, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tuanku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustofa Billah Shah telah menitahkan bahawa institusi pondok dan tahfiz adalah tempat melahirkan aset berharga buat Negeri Pahang. Baginda juga berbangga kerana Negeri Pahang adalah antara negeri yang paling banyak institusi pondok dan tahfiz persendirian.

- Advertisement -

Memang kita berasa gembira dengan perkembangan ini yang pastinya memberi semangat dan dorongan agar pengusaha institusi tahfiz atau pondok persendirian untuk terus maju ke hadapan. Namun apabila munculnya banyak institusi Tahfiz sebagai contoh, ada juga yang berpandangan bahawa ia satu perkembangan yang kurang baik kerana tidak wajar dikendalikan oleh bukan Hafiz al-Quran malah ada yang membuat andaian bahawa pengusaha institusi Tahfiz suka bermewahan dan membazirkan wang.

Pandangan ini ada benarnya jika memang tiada langsung tenaga pengajar yang bukan Hafiz al-Quran mengajar di tempat berkenaan. Namun sekiranya guru-guru yang mengajar adalah Hafiz Al-Quran dan mempunyai latar belakang pelbagai institusi pengajian maka ia adalah baik bagi mengumpul pelbagai pengalaman pengajian dan pengurusan.

Tidak salah jika pengusaha atau mudir bukan al-Hafiz. Malah mudir yang ada pengalaman pentadbiran adalah baik jika ilmu pentadbiran berkenaan diterapkan dalam institusi Tahfiz. Apa yang penting ialah mudir perlu sentiasa terbuka untuk belajar daripada pengalaman mereka yang pakar dalam bidang berkenaan dan bekerja secara satu pasukan serta memanfaatkan semua kepakaran yang ada. Sikap meremehkan kebolehan orang lain dan merasakan diri lebih baik hanya akan menghadkan kemajuan sesebuah institusi. 

Isu bermewahan pula memang tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi sekiranya ia dimonopoli oleh pengusaha sahaja sedangkan infaq orang ramai adalah untuk institusi berkenaan khususnya para pelajar. Oleh itu pengusaha atau mudir mestilah merancang pembangunan dan pembinaan insfrastruktur yang selesa bagi manfaat anak-anak yang menghafaz al-Quran. Dari tempat tidur, bilik pengajian, musolla, dewan makan, dapur, tempat permainan hinggalah ke tandas mesti diuruskan dengan baik agar ia selesa, cantik, tersusun dan paling penting bersih. Bukankah ia adalah sebahagian daripada tuntutan Islam?

Adalah suatu yang janggal jika pengusaha institusi Tahfiz berfikiran bahawa keceriaan dan kebersihan adalah di kedudukan nombor 10 dari sudut priority. Inilah punca ada institusi Tahfiz atau pondok gagal memberikan imej yang baik kepada awam dan menjadi bualan negatif.

Paling penting daripada segenap aspek yang telah diutarakan sudah pastinya ialah kualiti pengajian. Ia adalah perkara yang wajib diberikan keutamaan tertinggi. Guru yang tidak bermotivasi, tenaga pengajar yang tiada semangat mendidik dan kakitangan yang tidak sanggup berkorban masa dan tenaga akan menjejaskan usaha menjadikan institusi Tahfiz atau madrasah sebagai institusi contoh yang cemerlang.

Semoga kita terus positif dan sentiasa menjadikan kelemahan itu sebagai peluang untuk terus belajar dan bukannya sebagai penghalang. Kelemahan yang ada pada orang lain kita raikan, kehebatan yang ada pada diri kita, kita kongsikan!

Wallahu A’lam.

Al-Faqir Ilallah
ZURIDAN MOHD DAUD 
Mudir MADAD
Penasihat Muafakat Pondok Negeri Pahang.

Kredit gambar: KOMTAQ dan Darul Abrar – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -