Premis punca sungai berbuih dikenakan lapan kompaun

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengambil langkah susulan aduan viral pencemaran buih di beberapa lokasi tumpuan di Sungai Skudai.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, akhirnya mendapati sebuah premis yang beroperasi di Jalan Cyber, Kawasan Perindustrian Senai disyaki menyebabkan sungai berbuih.

- Advertisement -

Katanya, buih terhasil daripada proses polishing dan annealing.

Tambah beliau, air cucian tidak dirawat melalui sistem pengolahan efluen perindustrian dengan betul. Selain itu, premis ini juga tidak mengurus buangan terjadual mengikut SOP ditetapkan.

“JAS telah mengenakan lapan kompaun dan Penahanan Operasi Kelengkapan terhadap pihak premis tersebut,” ujarnya dalam catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak pengadu, pihak media dan JAS Johor.

Dalam hantaran di Facebook pada 9 Mei, beliau menyatakan buih-buih putih di Sungai Skudai berhampiran Jambatan Jalan Bukit Impian, Taman Impian Emas, Johor Bahru tidak menjejaskan operasi LRA Sultan Ismail.

Katanya, pensampelan kualiti air sungai telah dibuat dan kualiti air normal dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) 4.95 dan pH 7.

Menurut beliau lagi, JAS Johor akan terus memantau dan membuat pemeriksaan lanjut. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -