PBT urus 350 tan sampah sehari sempena Aidilfitri

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan berjaya menguruskan lebih 300 hingga 350 tan sampah domestik dan pukal setiap hari dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kejayaan itu terbukti apabila tiada sebarang aduan yang diterima mengenai isu sampah pada perayaan kali ini.

Katanya, pengurusan sampah dalam tempoh perayaan dianggap begitu baik terutamanya pekerja-pekerja kebersihan.

- Advertisement -

“Buat kali pertama Kelantan tahun ini tiada isu sampah seperti pernah diviral sebelum ini.

“Saya mengucap tahniah kepada semua pihak terutamanya PBT dan pekerja-pekerja kebersihan yang begitu komited bekerja tidak kira pada musim cuti raya, di mana mereka bekerja dari malam sehingga Subuh.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baik,” katanya selepas majlis Aidilfitri di pejabatnya di Kota Darulnaim semalam.

Menurutnya juga penghasilan sampah domestik dan pukal oleh penduduk khususnya di Kota Bharu meningkat semasa perayaan Aidilfitri berbanding 250 hingga 300 tan sehari pada hari biasa.

Kata beliau peningkatan itu berlaku sehingga 350 tan sehari berbanding 250 hingga 300 tan bukan pada musim perayaan.

“Peningkatan itu disebabkan penduduk membersihkan halaman dan kediaman masing-masing, di mana ada yag membuang barangan lama sehingga berlaku timbunan sampah dalam tong yang disediakan PBT,” katanya.

Dr Izani juga berkata, kerja-kerja mengangkut sampah turut dibantu syarikat swasta di lokasi yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -