Majikan galak ibu bapa bawa anak terima vaksin

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak yang masih rendah di negara ini dibimbangi boleh menjadi faktor menyebabkan berlaku penularan semula wabak Covid-19.

Oleh itu Pemuda PAS Sabah mencadangkan ibu bapa yang bekerja diberi kebenaran membawa anak-anak pada hari bekerja bagi menerima vaksin di pusat pemberian vaksin yang disediakan kerajaan.

Pengerusi Lajnah Pengguna, Pekerja dan Alam Sekitar Pemuda PAS Sabah Asrul Samat berkata, dengan ada kebenaran ia lebih memudahkan ibu bapa membawa anak-anak mereka menerima vaksin.

- Advertisement -

Katanya, sambutan yang agak dingin sekarang kerana ibu bapa sibuk dengan urusan kerja dan anak-anak mengikuti sesi persekolahan.

“Majikan wajar mengggalakkkan pekerja mereka membawa anak mendapat suntikan vaksin bagi membantu kerajaan meningkatkan kadar vaksin bagi golongan kanak-kanak,” katanya di sini.

Kementerian Kesihatan sebelum ini melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) di sekolah dan menngadakan kempen Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini dilapor berkata, tempoh PICKids akan berakhir pada 15 Mei ini bagi vaksin Pfizer untuk mereka yang belum mengambil dos pertama.

Dan selepas 15 Mei ini kanak-kanak diberi pilihan mendapatkan vaksin menerusi program vaksinasi berbayar bagi mendapatkan vaksin Sinovac.

Asrul juga berkata, pematuhan SOP dan budaya normal baharu perlu diteruskan masyarakat biarpun negara sudah beralih kepada fasa endemik.

“Begitu juga golongan pekerja wajar mengamalkan kawalan kendiri dan pembudayaan normal baharu di tempat kerja. Ini kerana sebelum ini berlaku penularan wabak di tempat kerja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -