Zaman mahasiswa, fasa mengasah skil kepimpinan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau sangat teruja setiap kali dapat turun ke kampus-kampus berjumpa dengan mahasiswa.

Menurutnya, beliau berpeluang bercakap di hadapan golongan cerdik pandai yang menjadi harapan negara suatu hari nanti. 

- Advertisement -

Ini susulan petang semalam, beliau turun ke Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk menyampaikan tazkirah dan sumbangan Aidilfitri kepada para pelajar asnaf. 

“Teringat zaman mahasiwa dulu. Zaman mencari identiti diri.

“Fasa inilah paling banyak mengasah skil kepimpinan, pengurusan organisasi, pengurusan masa, pidato dan sebagainya,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, malam tadi.

Katanya, zaman itu beliau cukup aktif menggerakkan Majlis Perwakilan Pelajar dan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Dengan kemahiran-kemahiran yang dibina di kampus inilah yang diguna pakai semasa bekerja termasuklah menguruskan parti sehingga ke hari ini,” ujarnya lagi

Kini, katanya sudah lebih 30 tahun meninggalkan zaman yang penuh kenangan itu.

Dalam pada itu, Idris turut mengucapkan terima kasih kepada, Naib Canselor UPM, Prof Dato’ Dr Mohd Roslan Sulaiman dan seluruh pegawai di atas majlis yang amat bermakna itu.

“Moga terus istiqamah melakukan amal kebaikan dan melahirkan ramai graduan yang berilmu dan berbakti kepada agama dan negara,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -