Keperluan masyarakat kepada khidmat PDRM sangat tinggi

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Tugas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjaga keselamatan orang ramai merupakan satu ibadah malah sentiasa terdedah dengan peluang untuk menambah pahala.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keperluan masyarakat terhadap khidmat pasukan PDRM sangat tinggi tanpa mengira masa.

- Advertisement -

“Ibadah dalam Islam bukan hanya di tikar sembahyang, di dalam masjid atau surau, bukan juga sekadar berpuasa atau menunaikan haji dan umrah.

“Menjalankan tugas sehari-hari, mencari rezeki menyara keluarga, itu adalah ibadah. Apatah lagi dengan khidmat lain membantu orang ramai menjadi pahala tambahan dan barakah hidup dengan doa  orang yang dibantu,” kata beliau pada majlis berbuka puasa di Ibu Pejabat Polis Kontijen, Kedah, di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Polis negeri, Wan Hassan Wan Ahmad, Pengerusi PERKEP Kontijen Kedah, Sarihah Jusoh, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Paduka Ammar Dato’ Sheikh Mahmood Naim dan Pegawai Kewangan Negeri, Isahak Murat.

Ujarnya lagi, suatu ketika dahulu, balai polis menjadi tempat pendaftaran kelahiran bayi terutama di kampung-kampung malah ia juga untuk mendapatkan permit pengebumian.

“Banyak sebenarnya tugas polis ini, suami isteri bergaduh sebab nak balik raya pun ada yang sampai jadi kes polis. Kes ketum, dadah, judi atau apa saja kes, polis juga diperlukan.

“Pendek kata, apa sahaja yang berlaku dalam masyarakat daripada sekecil-kecil isu hingga kes berprofil tinggi, kesemuanya jadi tanggungjawab polis untuk selesaikan,” tambahnya lagi.

Justeru untuk menjadikannya sebagai ibadah serta beroleh ganjaran di sisi Allah, beliau mengingatkan agar niat berkhidmat kepada masyarakat semata-mata kerana Allah.

Katanya, di samping menjadikan tugas seharian  sebagai ‘ubudiyyah, menjauhi tingkah laku tidak baik, menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia.

“Dengan itu, insya-Allah, hidup kita dilimpahi berkat, rumah tangga harmoni, anak-anak menjadi anak yang soleh dan solehah, kehidupan tenang tanpa gangguan, tidur malam nyenyak sempurna,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2022

- Advertisement -