‘Kita tambah keceriaan sambut raya dengan i-Fitri’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, kita tambahkan keceriaan sambut raya dengan dana i-Fitri,” ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim.

Katanya, dua tahun sudah kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dipendamkan seketika lantaran Covid-19 yang melanda tetapi raya tahun ini pelbagai sekatan telah dibuka.

- Advertisement -

Sehubungan itu, ujarnya kerajaan negeri menambahkan keceriaan menyambut hari raya kali ini dengan dana i-Fitri.

Beliau yang juga ADUN Jabi menambah, walapun bantuan RM400 itu tidaklah banyak jumlahnya tetapi semoga ia dapat membantu.

Menurutnya, seramai 4,523 orang penerima yang layak dari DUN Jabi mula menerima bahagian masing-masing bermula pagi ini sehingga petang esok.

Dr Azman mengucapkan terima kasih kepada kakitangan Pejabat Daerah Setiu, Penghulu Mukim, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jabi, i-Mits, JPKK dan semua yang bersengkang mata dan bekerja keras untuk menyempurnakan kerja besar itu.

“Semoga Allah menganjari segalanya,” ujarnya pada catatan di laman sosial beliau, hari ini.

Dana bantuan raya i-Fitri diagihkan kepada penerima melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) melibatkan peruntukan berjumlah RM58.99 juta kepada 150,947 penerima. – HARAKAHDAILY 24/4/2022

- Advertisement -