Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera

- Advertisement -

BUAT julung kalinya, Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama telah menerbitkan Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia oleh YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri. Buku ini telah dirasmikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sebentar tadi. 

- Advertisement -

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) kerana telah berjaya membangun serta menerbitkan Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera. Proses pembangunan buku ini terdiri daripada panel-panel pakar daripada JAKIM, IKIM, UTM dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Pada majlis ini, saya telah membentangkan kandungan Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera yang memberi penekanan kepada aspek memperkukuhkan semangat perpaduan dan sikap saling menghormati dengan mengambil kira konsep fiqh al-ta‘ayush, iaitu fiqh hidup bersama yang sesuai diamalkan di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya, penganut agama dan ideologi. 

Objektif utama penerbitan Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera adalah sebagai panduan kepada pembuat dasar, pelaksana dan masyarakat di Malaysia untuk memahami asas pengukuhan Keluarga Malaysia sebagai keluarga besar yang sejahtera. 

Tiga teras utama digariskan dalam Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera iaitu pemeliharaan keharmonian antara kaum dan penganut agama, pengukuhan interaksi dan hubungan antara kaum dan pemerkasaan tadbir urus melalui pendekatan Maqasid Syariah yang menjaga lima prinsip iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta adalah sesuai untuk dilaksanakan di negara ini terdiri daripada masyarakat majmuk. 

Saya berharap agar Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera ini dapat dijadikan rujukan dan panduan dalam usaha membumikan tindakan kepada masyarakat sehinggalah pemimpin di segenap sudut di Malaysia. Insya-Allah.

YB SENATOR DATO’ USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 22/4/2022

- Advertisement -