Santuni saudaramu fakir miskin

- Advertisement -

DALAM kitab Maqālāt Al-Islāmiyyin Fi Syahri Ramadhān Al-Karīm karya Dr. Mohamed bin Hasan Aqil Al-Syarif menyatakan bahawa melalui puasa seseorang itu mudah menjadi pemurah. Dengan itu, hendaklah dia berkongsi kelebihan dan nikmat yang Allah kurniakan kepada saudaranya yang fakir miskin:

- Advertisement -

وليس الصوم مقصورا على تربية الفرد فحسب بل إنه يضفي آثاره على الفرد وعلى المجموع، فيعقب صوم رمضان زكاة الفطر كما أن أيام الحج تنتهي بالأضحية في عيد النحر. وفي هذا وذاك يتقرر حق الفقير والمسكين، وتثمر شعائر العبادة ثمارها في روح الفرد في مصالح المجموع على السواء.

“Puasa tidak hanya terhad untuk mendidik individu sahaja, malahan ia juga melebarkan kesannya kepada individu dan orang ramai. Diikuti puasa Ramadan itu dengan Zakat Fitrah sebagaimanalah hari-hari haji berakhir dengan korban pada hari raya Aidiladha. Keadaan sebegini dan sebegitu menegaskan bahawa adanya di situ hak kepada fakir miskin. Syiar ibadah melalui puasa ini dapat membuahkan hasil yang sama ke dalam roh seseorang individu mahupun semua anggota masyarakat”.

Hidup miskin bukan suatu yang hina, bahkan orang yang hidup tidak bermewahan selalunya tawaduk dan tidak menyakiti orang lain. Rasulullah S.A.W sendiri pernah berdoa untuk bersama golongan miskin. Syeikh Al-Mubarakfuri menyatakan bahawa maksud miskin dalam doa Nabi itu ialah kehinaan dan kebergantungan tinggi kepada Allah S.W.T. 

Tujuan Rasulullah S.A.W berdoa seperti ini adalah bagi menzahirkan sifat tawaduk dan kebergantungan Baginda S.A.W kepada Allah supaya ianya menjadi panduan kepada umatnya agar meninggalkan sifat takabur dan berbangga diri. Di samping itu, Baginda S.A.W ingin menunjukkan akan ketinggian kedudukan orang miskin di zamannya dan dekatnya mereka dengan Allah S.W.T.

Jika orang kaya dan punyai kemudahan menguruskan agihan zakat dan sumbangan mereka dengan cara betul, kemiskinan dalam sesebuah negara itu dapat diatasi sebagaimana kenyataan Prof. Dr. Al-Qaradhawi dalam Fiqh Al-Zakāt. Kita berharap dan doakan usaha kerajaan untuk hapuskan miskin tegar menjelang 2025 berjaya, sebagaimana yang telah dirangka dalam RMKe-12 (2021- 2025), melalui pendekatan baharu pembasmian kemiskinan tegar secara holistik. 

Apa yang penting, semua pihak hendaklah mengambil peluang di bulan mulia ini untuk menyantuni dan ceriakan saudara kita yang fakir miskin. Pastikan sekurang-kurangnya tiga orang fakir miskin berjaya dibantu sepenuhnya oleh anda pada bulan Ramadan tahun ini, biiznillah.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 15/4/2022

- Advertisement -