Muslimah dicabul, hero muncul

- Advertisement -

SABDA Rasulullah S.A.W kepada Yahudi Bani Qainuqa’:

- Advertisement -

“يا معشر يهود احذروا من الله مثل ما نزل بقريش من النقمة، وأسلموا فإنكم قد عرفتم أني نبي مرسل، تجدون ذلك في كتابكم وعهد الله إليكم.”

“Wahai sekalian Yahudi, waspadalah bala dari Allah sebagaimana yang Dia timpakan terhadap Quraisy. Peluklah Islam. Kalian tahu aku sebenarnya Nabi yang diutus. Termaktub dalam kitab kalian dan Allah wajibkannya bagi kalian.”

[Hadis Riwayat Ibn Ishak]

Latar belakang

Apa kaitan pula Hadis ini dengan wanita? Nabi tak ada sebut pasal wanita pun?

Macam ini. Latarbelakang dia, selepas orang Islam menang Perang Badar, Yahudi-yahudi sangat cemburu dan tak senang duduk. Antaranya Bani Qainuqa’.

Nabi sangsi akan kesetiaan Yahudi sebagai rakyat Kerajaan Madinah. Lalu Nabi kumpulkan Bani Qainuqa’ di pasar mereka dan bersabda sebagaimana di atas.

Bani Qainuqa’ bukan nak terima, malah makin koyak bila Nabi cakap begitu. Dengki Islam menang tak habis lagi, Nabi pula cakap begitu. Tambah berapi-api jiwa mereka.

Kata mereka lebih kurang:

“Lawan Quraisy bolehlah. Diorang bukan tahu perang pun. Try lawan kami. Tahulah nasib korang.”

Mereka tak puas hati lagi. Cuba cari pasal pula dengan orang Islam. 

Dan bermulalah babak wanita dalam cerita ini.

Satu hari, ada seorang Muslimah berniaga di pasar Yahudi Bani Qainuqa’. Lalu mereka cuba ganggu Muslimah itu. Mereka cuba nak tarik niqab yang menutup wajah Muslimah itu. Muslimah itu pula melawan dengan kudrat sang Hawa.

Seorang tukang emas Yahudi yang berniaga di sebelah Muslimah itu diam-diam mengikat belakang baju Muslimah itu di tempat dia duduk. Bila Muslimah itu bangun, terdedahlah auratnya.

Para Yahudi mentertawakan sepuas hati. Muslimah itu menjerit mohon bantuan. Jeritan beliau segera disahut seorang lelaki Muslim. Dia terus menerkam tukang emas Yahudi itu dan membunuhnya.

Bertambah panaslah orang-orang Yahudi yang menyaksikan adegan tersebut. Lalu lelaki itu dibunuh beramai-ramai. Itulah punca perang Bani Qainuqa’.

Islam bela perempuan

Kita boleh lihat bagaimana bernilainya seorang wanita di sisi Islam. Tiada pilih kasih antara jantina. Bahkan mungkin layanan terhadap wanita lebih istimewa di dalam Islam.

Bayangkan, hanya kerana membela maruah seorang wanita, satu nyawa lelaki Muslim syahid dan seluruh kekuatan Islam dikerah untuk berperang!

Bahkan ini bukanlah satu-satunya kisah pembelaan Islam terhadap wanita. Di zaman khalifah Mu’tasim, seorang Muslimah dicabul ketika berada di pasar Rom. Muslimah itu menjerit ‘Ya Mu’tasimah!’ (Di mana kau Mu’tasim!) meminta bantuan.

Perkara itu didengari seorang Muslim lalu disampaikan kepada khalifah. Mendengar sahaja berita itu, Mu’tasim terus menjawab ‘Labbaika Ya Ummah!’ (Aku datang wahai ibu!). Beliau terus meninggalkan kerjanya dan mempersiapkan bala tentera menuju tanah Rom. Hanya demi seorang wanita!

Pernahkah berlaku perkara ini dalam mana-mana tamadun lain?!

Bahaya

Kisah ini turut memberi pengajaran, perempuan sangat terdedah kepada bahaya walaupun di kawasan awam. Kita tak tahu siapa lelaki jahat dan baik. Kalau perempuan berniqab pun mereka kacau lagi, yang sengaja pakai seksi sampai tarik perhatian lelaki lagilah bahaya.

Kalau nak keluar ke khalayak, ambillah langkah berjaga-jaga seperti; 

1. Bawa bersama muhrim lelaki. 

2. Ataupun bersama kumpulan wanita yang ramai.

3. Elakkan kawasan sunyi. 

4. Elakkan tempat yang kita tak biasa. 

5. Sentiasa bawa telefon.

6. Maklumkan kepada suami atau penjaga atau waris kita pergi mana.

7. Hafal nombor telefon suami atau penjaga atau waris terdekat.

Semasa kami belajar di luar negara, persatuan tetapkan supaya akhawat kena ada pengiring (mas’ul) kalau nak ke mana-mana di waktu malam atau ke luar daerah atau negeri atau negara. Mas’ul adalah di kalangan lelaki (syabab) kerana mustahil nak panggil Muhrim dari Malaysia datang teman.

Boleh pujilah inisiatif persatuan ini. Dah banyak cerita orang tempatan kacau akhawat Malaysia di sana. Siang-siang buta, tengah khalayak pun ada yang ambil kesempatan!

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 15/4/2022

- Advertisement -