PBT rangka inisiatif realisasi agenda pembangunan mampan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

PASIR PUTEH:
Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan diminta merangka inisiatif bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri melaksanakan pembangunan mampan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, kerajaan negeri merangka Pelan Induk Pembangunan Mampan (PIPM) Kelantan (2019-2023) bagi mencapai matlamat tersebut.

Menurutnya bagi mencapai pembangunan mampan, tiga elemen utama perlu dicapai iaitu pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan perlindungan alam sekitar.

- Advertisement -

“Setiap ahli majlis perlu membina kompetensi dalam diri dan melihat fokus yang dikehendaki kerajaan bagi menambah baik sistem sedia ada demi kesejahteraan rakyat.

“Kaedah terbaik melalui sumbang saran berfokus kepada perkara yang ingin dicapai supaya selari dengan kehendak kerajaan negeri yang meletakkan kerangka Islam dalam setiap agenda pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian pada Seminar Pembangunan Mampan Negeri Kelantan anjuran Pusat Kajian Strategik (PKS) di Dewan Besar, Jeram Mengaji Agroresort di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Johari Mat; Pengarah PKS Dr Wan Nik Wan Yussof dan Pengurus Besar Kelantan Utilities Mubarakan Sdn Bhd (KUM), Dr Mohd Roshdi Hassan.

Sebanyak tiga kertas kerja dibentang pada seminar itu iaitu Pembangunan Mampan dari Perspektif Islam, Pelan Induk Pembangunan Mampan Negeri Kelantan: Peranan PBT dan Pembangunan Mampan Menuju Komuniti Iklusif Negeri Kelantan.

Pelan Induk Pembangunan Mampan dilancar Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob sempena Majlis Amanat Khas Tahun Baru 2020.

Pelancaran PIPM tersebut diterjemahkan melalui Strategi Lautan Hijau dengan pendekatan yang holistik dan bersepadu.

PIPM mengenal pasti lima projek yang akan memberi impak besar kepada pembangunan Kelantan dengan kerjasama syarikat swasta.

Ia meliputi Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Lojing Highlands, Rancangan Kawasan Khas Bandar Tok Bali, Bandar Baru Tunjong dan juga Projek Pembangunan Industri Bio-Plastik. – HARAKAHDAILY 13/4/2022

- Advertisement -