Ameerah Tambun contohi Kelantan, Terengganu

- Advertisement -

TAMBUN: Gerak kerja politik yang dilaksanakan setiap masa oleh Ameerah Negeri Kelantan dan Terengganu dalam komitmen mendekati masyarakat menjadi contoh kepada Ameerah Kawasan Tambun.

- Advertisement -

Ketua Ameerah Tambun, Aisyah Husna M Ameer berkata, budaya tersebut mesti diikuti dengan tidak menjadikan gerak kerja dilakukan secara bermusim atau ketika menghampiri tempoh pilihan raya sahaja.

“Hari ini menang pilihan raya, esoknya tetap meneruskan gerak kerja bagi persediaan PRU akan datang. Begitulah budaya dan formula kerja kuat yang wajar dicontohi untuk peroleh kemenangan,” ujarnya.

Mengambil semangat itu, Ameerah Tambun turut menggiatkan aktiviti khasnya kepada golongan muda antaranya sumbangan ‘Back to School’ kepada pelajar dari DUN Manjoi dan DUN Hulu Kinta, di sini baru-baru ini.

Menurut Aisyah, selain menzahirkan keprihatinan Muslimat Muda PAS kepada golongan itu, ianya juga mengekalkan momentum gerak kerja pihaknya, selain menimba pengalaman dan menerangkan kepentingan politik kepada umum.

Kata beliau, pihaknya juga telah melancarkan Ameerah Fan Club (AFC) Tambun sebagai antara usaha menarik minat anak muda khususnya muslimat muda melalui acara lebih santai seperti sukan, rekreasi, fesyen dan seumpamanya.

“Ramadan ini AFC Tambun mengadakan program tadabbur al-Quran secara bersemuka bagi mengimarahkan bulan Ramadan. Insya-Allah program ini akan dilangsungkan setiap Ahad sepanjang bulan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -