Capai ketenangan diri

- Advertisement -

DALAM kitab Al-Shaum Fiqhuh Wa Asraruh karya Dr. Muhyiddin Dib Misto menjelaskan bahawa melalui berpuasa seseorang itu mudah untuk mencapai hati dan diri yang sakinah atau tenang. Apabila diri mencapai ketenangan, sangat mudah mazmumah diri dapat dibuang:

- Advertisement -

إذ ينبغي أن يكون الصوم سببا في سكينة نفسك لا في ثورتها، وإذا ابتليت بجاهل أو شاتم فلا تقابله بمثل فعله بل عليك أن تعظه وأن تدفعه بالتي هي أحسن

“Puasa hendaklah menjadi asbab untuk memberi ketenangan kepada dirimu dan bukan memberontak. Jika kamu diuji dengan orang jahil atau pemfitnah, jangan berhadapan dengannya dengan perbuatan yang sama, sebaliknya kamu hendaklah menasihatinya serta menolak perbuatannya dengan cara yang terbaik”.

Mencapai ketenangan diri adalah pra-syarat utama untuk mendapatkan maqam takwa. Tidak semudah sebutan mulut untuk menjadi Muttaqin pada bulan Ramadan. Ia memerlukan latihan dan pelaksanaan amalan baik secara berterusan. Jika setiap hari, hanya kebaikan menjadi agenda diri dan kejahatan dihalang, insya-Allah mudah untuk seseorang Muslim itu mencapai takwa.

Sesungguhnya, sifat terpuji akan segera lahir apabila diri seseorang memperolehi ketenangan. Dia akan menjadi seorang penyabar, pemaaf dan mukmin yang tinggi akhlaknya. Sikap sebeginilah yang sangat didamba oleh seluruh umat Islam bagi menyemarakkan sebuah penyatuan ummah berskala besar dan membuahkan kesejahteraan dalam masyarakat. 

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 12/4/2022

- Advertisement -