Ramai murid sekolah rendah masih buta huruf

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Tidak semua murid sekolah dapat mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdPR) dengan baik semasa tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini.

Perkembangan itu agak membimbangkan khususnya berlaku keciciran murid.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail berkata, situasi itu berlaku ketika cabaran pandemik sebelum ini.

- Advertisement -

Katanya, ramai pelajar sekolah rendah mengalami masalah buta huruf dan tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira.

Sehubungan itu kata beliau Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bekerjasama dengan Yayasan Hasanah, Weser Solutions Sdn. Bhd dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN) menganjurkan Projek Pemulihan Literasi dan Numerasi Tahap 1 bagi golongan B40 dan pelajar yang terkesan.

“Projek berkenaan selari dengan agenda UniMAP for Society yang sentiasa cakna dengan pembangunan sosial serta komited dengan program pembangunan komuniti.

“Modul Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik sedang dibangunkan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Pusat Sains Liberal dan Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) UniMAP,” katanya pada bengkel Pengamalan Modul Literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Numerasi: HSG 2021-2022, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Pendidikan dan Biasiswa Yayasan Hasanah Dr Nur Anuar Abdul Muthalib, Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu Sektor Pembelajaran JPN, Shahida Basir dan Prof Madya Dr Ir Umi Fazara Md Ali.

Menurut Dr Rizalafande JPN Perlis berperanan mengenal pasti murid-murid yang memerlukan pemulihan literasi dan numerasi, selain pembangunan modul dan latihan kepada mentor termasuk 140 guru sekolah rendah.

Kata beliau, penguasaan literasi dan numerasi merupakan kemahiran asas yang sangat penting supaya mereka celik huruf serta nombor.

“Kita yakin dan percaya bahawa projek ini dapat melahirkan murid-murid yang berketrampilan dan berani kehadapan melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.

“Hari ini guru-guru pemulihan diberi pendedahan tentang perjalanan projek, modul yang telah disediakan serta amalan terbaik untuk menyampaikan modul tersebut kepada kira-kira 2,000 pelajar B40 yang sebelum ini tercicir,” kata beliau.

Terdahulu, Dr Nur Anuar berkata, Hasanah amat mementingkan perbelanjaan secara berhemah dalam usaha memudahkan transformasi ekosistem, bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.

“Antara bidang yang menjadi tumpuan utama ialah pendidikan, pembangunan komuniti, alam sekitar, seni dan ruang awam dan pengetahuan.

“Secara kolektif dan kolaboratif, Hasanah berharap dapat mewujudkan perubahan sosial dan pembaharuan masyarakat untuk rakyat Malaysia, ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/4/2022

- Advertisement -