Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqani menyeleweng

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqani disahkan bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah serta menyeleweng dari ajaran Islam.

- Advertisement -

Perkara itu disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui satu kenyataan mengenai status tarekat berkenaan pada Jumaat lalu yang memetik keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) ke-48 pada 3 April 2000.

Menurut kenyataan itu, keputusan mengenai status tarekat itu kemudiannya dikekalkan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-86 pada 2009 selain menuntut pengamal ajaran berkenaan segera bertaubat.

“Merujuk kepada pandangan Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-117 pada 2020, muzakarah tidak membuat sebarang keputusan untuk meminda atau membatalkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI kali ke-48 tahun 2000.

“Sebaliknya, ia hanyalah membenarkan pengikut tarekat berkenaan mengamalkannya selagi tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan syariah serta uruf setempat berdasarkan maklumat yang dibentangkan pada muzakarah ketika itu sebagaimana minit yang disahkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI kali ke-118,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, sebarang pembatalan kepada sesuatu pandangan hukum secara prinsipnya mestilah melalui proses kajian ilmiah yang lebih teliti dan pembentangan semula kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI dengan mengambilkira pandangan ahli Jawatankuasa Muzakarah MKI. – HARAKAHDAILY 6/4/2022

- Advertisement -