MB hargai keringat sukarelawan kampung

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

SIK:
Khidmat guru al-Quran, bidan kampung, juru mandi jenazah dan mudim tidak ternilai kerana mereka sanggup menawarkan khidmat secara sukarela bagi membantu penduduk.

- Advertisement -

Menteri Besar (MB) Dato’ Seri Muhammad Sanusi berkata, golongan terbabit merupakan tenaga yang sangat penting di peringkat kampung sejak dahulu lagi.

“Kita kagum dengan kesanggupan mereka datang tanpa mengira waktu apabila diperlukan semata-mata untuk membantu masyarakat.

“Walaupun khidmat yang mereka berikan tidak bergaji, namun di sisi Allah SWT mereka sangat mulia dan disanjung masyarakat,” katanya pada majlis berbuka puasa di Masjid Al Irfan, Gajah Puteh di sini semalam.

Pada program itu seramai 300 tenaga khidmat sukarela termasuk guru al-Quran, bidan kampung, juru mandi jenazah, bomoh patah dan penggali kubur menerima sumbangan disampaikan menteri besar.

Di majlis yang sama Sanusi menyampaikan sumbangan berjumlah RM25,000 kepada lima masjid di daerah Sik.

Sumbangan sempena Ramadan kepada tenaga khidmat sukarela di kampung-kampung dipelopori Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak sejak 2009 ketika menerajui Kedah.

Sanusi yang juga Adun Jeneri berkata, khidmat yang dilakukan golongan terbabit bukan bertujuan mencari wang ringgit. – HARAKAHDAILY 6/4/2022

- Advertisement -