Keenakan harumanis Perlis tiada tandingan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan dan panas silih berganti menyebabkan Mangga Harumanis Perlis kurang lebat tahun ini.

Pekebun muda Abu Huzaifah Azman, 30 berkata bunga sebelum ini agak banyak, namun luruh menyebabkan pengeluaran buah berkurangan berbanding tahun lepas.

“Bagaimanapun, kita bersyukur buah tetap menjadi walaupun kurang sedikit daripada tahun lepas. Begitu juga permintaannya sentiasa ada,” katanya ketika ditemui di sini.

- Advertisement -

Harumanis memerlukan musim kemarau daripada Januari hingga Mac untuk berbunga. Tempoh itu dinamakan sebagai stress period mengikut istilah Jabatan Pertanian Negeri.

Buah harumanis akan mula berhasil sekitar April hingga awal Jun setiap tahun. Lebih unik lagi, mangga tersebut hanya sesuai di Perlis walaupun banyak kajian yang dilakukan di negeri-negeri lain.

Abu Huzaifah berkata, setiap tahun ada permintaan terhadap buah harumanis terutamanya penduduk dari luar Perlis.

“Tambahan pula keenakan buah ini tiada tandingan dengan mangga lain. Ini kerana Harumanis Perlis antara baka mangga terbaik di negara kita,” katanya yang juga graduan Diploma Pengurusan Perladangan Universiti Teknologi Mara.

Beliau mula berkecimpung dalam penanaman harumanis sejak tahun 2015 di ladang milik keluarga. Ilmu penanaman harumanis dipelajari daripada keluarga.

Menurut Abu Huzaifah juga cabaran utama mengusahakan ladang harumanis banyak bergantung kepada keadaan cuaca.

“Jika berlaku hujan, pokok yang mula berbunga akan luruh menyebabkan buah kurang menjadi,” katanya yang juga berkhidmat sebagai guru di Sekolah Rendah Islam Al Furqan.

Kata beliau harumanis merupakan buah yang unik dan berbeza daripada mangga-mangga lain di pasaran tempatan.

Katanya, gred buah ditentukan berdasarkan berat dalam unit gram.

“Ada empat gred iaitu gred AA atau A+ yang mempunyai berat 500 gm ke atas manakala gred A mempunyai berat 350 gm hingga 500 gm.

“Sementara gred B mempunyai berat 350 gm dan gred gred C berat 350 gm ke bawah,” katanya.

Beliau juga berkata, kebiasaannya harumanis di Perlis dimakan bersama pulut dan santan.

Selain itu ada juga yang menghasilkan jus harumanis, dadih, agar-agar dan pelbagai juadah boleh dimakan ketika berbuka puasa.

Oleh itu peminat harumanis di luar Perlis yang berminat merasai mangga Perlis itu boleh layari laman facebook Abu Huzaifah Azman. – HARAKAHDAILY 6/4/2022

- Advertisement -