Menjadi pencatat hutang dan saksi yang jujur

- Advertisement -

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 3

KEHIDUPAN
manusia tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai rintangan dan masalah hidup. Boleh dikatakan berhutang menjadi lumrah biasa dalam kehidupan bermasyarakat akibat beberapa kekangan yang berlaku. Oleh kerana itu, Allah SWT menerangkan secara jelas kaedah dan tatacara berhutang supaya proses berhutang berlangsung dengan ketetapan yang diputuskan oleh Syariat Islam. Firman Allah SWT:

*وَإِن كُنتُمۡ عَلَىٰ سَفَرࣲ وَلَمۡ تَجِدُوا۟ كَاتِبࣰا فَرِهَـٰنࣱ مَّقۡبُوضَةࣱۖ فَإِنۡ أَمِنَ بَعۡضُكُم بَعۡضࣰا فَلۡیُؤَدِّ ٱلَّذِی ٱؤۡتُمِنَ أَمَـٰنَتَهُۥ وَلۡیَتَّقِ ٱللَّهَ رَبَّهُۥۗ وَلَا تَكۡتُمُوا۟ ٱلشَّهَـٰدَةَۚ وَمَن یَكۡتُمۡهَا فَإِنَّهُۥۤ ءَاثِمࣱ قَلۡبُهُۥۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ عَلِیمࣱ*

Maksudnya: “Dan jika kamu berada dalam musafir (lalu kamu berhutang atau memberi hutang yang bertempoh), sedang kamu tidak mendapati jurutulis, maka hendaklah diadakan barang gadaian untuk dipegang (oleh orang yang memberi hutang). Kemudian kalau yang memberi hutang percaya kepada yang berhutang (dengan tidak perlu bersurat, saksi dan barang gadaian), maka hendaklah orang yang dipercayai itu menyempurnakan bayaran hutang yang diamanahkan kepadanya, dan hendaklah dia bertakwa kepada Allah Tuhannya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang yang menjadi saksi) menyembunyikan perkara yang dipersaksikan itu. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya. Dan ingatlah, Allah sentiasa Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan”. (Al-Baqarah: 283)

- Advertisement -

Sekiranya seseorang itu berhutang, maka kewajipan ke atasnya adalah menunaikan amanah pembayaran hutang tersebut secara telus. Hutang merupakan amanah yang terpikul diatas bahu penghutang. Seseorang yang berhutang hendaklah membayar hutangnya dengan baik dan berlaku adil. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda:

*إنَّ خِيَارَكُمْ أَحْسَنُكُمْ قَضَاءً*

Yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam menjelaskan hutang.” (Riwayat al-Bukhari)

Sesungguhnya hutang terhadap Allah SWT tidak gugur walaupun seseorang itu meninggal dunia. Ia perlu dijelaskan melalui harta pusaka si mati walaupun tidak diwasiatkan supaya dijelaskan. Ia termasuklah zakat, fidyah, kafarah dan haji. Mazhab Syafi’e berpendapat bahawa hutang dengan Allah perlu didahulukan pembayarannya sebelum penyelesaian hutang sesama manusia.

Hutang hendaklah dicatat dengan jelas dan bagi mereka yang diamanahkan mencatat hendaklah jujur dengan tidak menyalahi ketetapan Allah SWT dan perundangan yang berlaku dalam masyarakat. Pencatat ini mesti adil dan boleh dipercayai. Boleh jadi pencatat di zaman ini berbeza dengan zaman dahulu seperti menggunakan khidmat guaman. Namun, peranannya sama sahaja, iaitu masih lagi memerlukan orang lain untuk tuliskan maklumat perjanjian hutang tersebut dengan terperinci.

Untuk memastikan bahawa perjanjian itu akan dipenuhi, hendaklah dipanggil dua orang saksi lelaki kerana kalau kes itu terpaksa dihadapkan ke mahkamah, ada saksi yang boleh dipanggil untuk menjelaskan perkara sebenar. Maka hendaklah ada saksi semasa transaksi itu dijalankan dan mereka melihat dengan mata mereka sendiri. Saksi ini mestilah daripada kalangan orang yang boleh dipercayai dan berintegriti.

Pencatat dan saksi yang hatinya berniat jahat akan menambahkan masalah kepada penghutang. Oleh sebab itu, para ulama menjelaskan kedudukan mereka secara terperinci dalam membantu memudahkan urusan, sekiranya mereka tidak bersikap jujur, maka mereka tergolong daripada kalangan orang yang fasik. Di sinilah, peranan semua pihak perlu dititikberatkan antara satu sama lain dan sebolehnya kita terlebih dahulu mengelakkan diri daripada berhutang. Rasulullah SAW sendiri mengajar umatnya agar sentiasa mengawal keadaan supaya tidak terbeban dengan hutang kerana ia boleh menjejaskan fokus pengabdian diri kepada Allah SWT.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
3 Ramadan 1443/5 April 2022 – HARAKAHDAILY 5/4/2022

- Advertisement -