BPMS agenda berterusan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ.

“Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Maka kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Aali Imran: 159)

Ayat di atas secara jelas memerintahkan umat Islam agar menggunakan pendekatan diplomasi untuk mewujudkan suasana damai dan bermusyawarah demi mendapatkan keputusan yang terbaik untuk semua pihak.

Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang dibawa oleh PAS adalah selari dengan perintah Allah S.W.T dalam usaha membina persefahaman dan penyatuan ummah yang menyeluruh di kalangan umat Islam dan merangkumi masyarakat bukan-Islam yang sama-sama menghormati Perlembagaan Negara. 

Segala permasalahan yang timbul perlu ditangani secara bijaksana dan mencari titik persamaan, bukan mencari titik perdebatan atau ditunjangi perasaan dendam. Hak untuk hidup dengan harmoni dan sejahtera adalah dijamin di dalam Islam dan juga Perlembagaan Negara kita.

PAS sentiasa teguh di atas prinsip dan sentiasa terbuka untuk berperanan dalam menyatukan Ummah dan membina persefahaman. Persefahaman yang dibina untuk kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhannya, bukan persefahaman yang berkepentingan atau agenda yang bersempadan tertentu.

Firman Allah S.W.T:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ. وَلا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ. وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلا ذُو حَظٍّ عَظِيم. 

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh dan berkata, “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri”? Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak akan dapat dicapai melainkan kepada orang-orang yang sabar, dan tidak akan dapat dicapai melainkan kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar.”

(Fussilat: 33-35)

Pendakwah perlu pertingkatkan ketabahan dan keteguhan hati. Semakin hampir dengan kemuncak, semakin berliku ujian dan dugaan. Itulah sunnatullah yang dilalui oleh para Rasul, Anbiya’ dan pejuang agama. Namun kejayaan sebenar adalah istiqamah di atas laluan ke arah mencapai redha Allah.

Justeru PAS Johor terus teguh di atas tiga paksi utama iaitu dakwah yang menggunakan jalur Siyasah untuk mendaulatkan Syariat Allah yang dipasak dengan Tarbiyah yang luhur. Hasilnya pimpinan PAS bebas daripada sabitan kes rasuah atau penyalahgunaan kuasa yang merosakkan integriti seseorang pemimpin.

“Islam Menyatukan Ummah”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan 
PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 22/3/2022

- Advertisement -