Drama Malaysia: Tingkat kualiti, bukan angkat pornografi

- Advertisement -

AMEERAH Malaysia menzahirkan rasa terkilan dengan laporan semasa mengenai babak pornografi dalam sebuah drama Malaysia yang dimaklumkan bakal ditayang di TV3 pada 4 April nanti. 

Lakonan drama mampu memberi pendidikan dan pengajaran yang baik kepada masyarakat. Pada masa ini kesedaran untuk menghasilkan karya seni dengan mesej berkesan telah meningkat di kalangan penggiat seni dalam dan luar negara. 

- Advertisement -

Kita menyaksikan lahirnya karya-karya bermutu yang memberikan ilmu serta motivasi kepada penonton sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. 

Gesaan agar penggiat drama tempatan terutama sekali drama-drama Melayu agar meningkatkan kualiti sering kita dengar. Drama-drama Melayu yang ditayangkan di waktu puncak diminta agar membuat penyelidikan dan meninggalkan kisah-kisah picisan yang jauh dari realiti dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat. 

Malangnya, bukan kualiti yang ditambahbaik namun unsur pornografi pula yang diangkat demi cara mudah meraih rating tontonan yang tinggi. 

Ameerah Malaysia ingin menegaskan bahawa rating tontonan boleh diraih dengan kualiti karya yang baik tanpa perlu menggunakan cara murahan seperti pornografi.Lihat sahaja laporan Berita Harian bertarikh 7 Ogos 2021 yang menyatakan seramai 4 juta telah menonton episod akhir drama Ayahanda yang diangkat daripada karya sasterawan negara Azizi Haji Abdullah. 

Ameerah Malaysia menggesa agar seluruh penggiat seni tanah air memainkan peranan bersama untuk membentuk moral yang baik di kalangan rakyat. Ini kerana karya seni adalah medium yang sangat berkesan dalam memperbaiki masyarakat.

Marilah kita memikul usaha amar ma’ruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan mencegah kejahatan) secara bersama-sama sebagai sebuah Keluarga Malaysia. 

DR USTAZAH SITI MASTURA MUHAMMAD
Ketua Pengarah Ameerah Malaysia – HARAKAHDAILY 21/3/2022

- Advertisement -