PAS Kedah miliki kompleks RM8 juta hasil keringat ahli

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kompleks PAS Kedah yang dibina melibatkan kos kira-kira RM8 juta menggambarkan pengorbanan dan keringat pejuang Islam sehingga berjaya memiliki bangunan setinggi enam tingkat.

Pembinaan bangunan tersergam indah tersebut juga merupakan kesenimbungan era pentadbiran Ustaz Azizan Abdul Razak ketika menerajui PAS Kedah sebelum ini.

- Advertisement -

Malam ini bangunan bersejarah yang menjadi pusat pentadbiran PAS Kedah akan dirasmikan oleh Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sempena program berkenaan pelbagai aktiviti menarik diadakan bermula pagi tadi antaranya, Sepak Penalti Piala Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, permainan tradisional dan sukaneka.

Pada sebelah petang program Keluarga Bahagia anjuran Dewan Muslimat PAS Kedah dengan mengadakan pertandingan gubahan tuala dan menghias kek bertema Kompleks PAS Kedah.

Manakala Dewan Ulama PAS kawasan pula mengadakan program bersama pimpinan PAS Pusat. Selepas solat Asar diadakan majlis bacaan Yaasin dan tahlil.

Malam ini juga akan diadakan penyampaian anugerah khas pembinaan bangunan pentadbiran PAS Kedah. – HARAKAHDAILY 18/3/2022

- Advertisement -