Tulisan Jawi dinobat dalam Kamus Dewan Perdana

- Advertisement -

SEMEMANGNYA tulisan bagi Bahasa Melayu adalah tulisan Jawi. Dan tulisan Jawi adalah tulisan bagi mengeja kalimah-kalimah Melayu.

Ada yang menganggap ia hanya sejarah yang telah ditinggalkan. Namun penerbitan Kamus Dewan Perdana 2020 mengangkat martabat tulisan Jawi sebagai tulisan bagi Bahasa Melayu.

- Advertisement -

Kamus Dewan adalah kitab rasmi dan sumber rujukan utama bagi Bahasa Melayu. Selama 50 tahun ia hanya mengeja kalimah-kalimah Melayu dengan tulisan rumi.

Kamus Dewan diterbitkan bagi kali pertamanya pada tahun 1970. Kemudian pada 1984 diterbitkan pula Kamus Dewan Cetakan Kedua (dengan tambahan). 

Kamus Dewan Edisi Baharu diterbitkan pada 1989, Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994) dan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005).  

Setelah setengah abad, Kamus Dewan dimurnikan, diperkasa dan diluruskan sebagai kitab ulung bagi penuturan Melayu. Maka pada 2020, lahirlah Kamus Dewan Perdana (KDP).

‘Perdana’ kerana saiznya yang besar. 11.2 X 9 inci dengan ketebalan 3 inci. Dipersembahkan dalam 3 lajur pada setiap halaman.  

Dijayakan penyusunannya oleh 66 orang editor pelbagai peringkat. Dirujuk kepada 50 orang pakar rujuk pelbagai bidang seperti astronomi, botani, dialek, ekonomi, etimologi, fonetik, jawi, kata serapan Bahasa Arab atau Agama Islam, kimia, peribahasa, perubatan, sastera, sejarah, tatabahasa, teknologi maklumat, variasi sosial dan zoologi. 

Pakar rujuk bagi tulisan Jawi ialah Tuan Haji Hamdan Abd Rahman, Prof Madya Dr Adi Yasran dan Ustaz Azman Ahmad.

Ia juga mendapat khidmat dari 82 orang informan bagi kata dialek dan bahasa serumpun. 

KDP mempersembahkan lebih 120,000 entri dan subentri. Dengan menjadikan Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai rujukan utama, KDP melengkapkan dengan senarai entri terbaharu dengan kepesatan perkembangan ilmu dan keperluan komunikasi.

Juga ditambah entri baru seperti nama tokoh, nama karya, negara, anugerah, dasar negara dan keajaiban dunia. 

Kini kalimah swafoto, sado, badang, koloseum dan lain-lain sudah muncul dalam KDP.

Hampir semua entri dan subentri dieja dengan tulisan Jawi berpandukan Daftar Kata Bahasa Melayu, Rumi-Sebutan-Jawi Edisi Kedua (2016).

Beberapa jenis entri tidak disertakan tulisan Jawi, iaitu:

1. Ejaan singkatan seperti IMF, Dr., Kg. dll
2. Entri yang merupakan simbul seperti C, Ag, kg dll
3. Entri yang merupakan rangkai kata melebihi dua perkataan
4. Entri yang merupakan imbuhan 
5. Entri nama tokoh, kecuali nama Nabi dan Rasul.

Untuk mendapatkan ejaan Jawi yang tepat, KDP perlu dibaca bersama Pedoman Umum Ejaan Jawi (PUEJ) 2020.

Pengguna KDP juga disarankan membaca terlebih dahulu panduan penggunaannya dalam 38 (xxxviii) halaman pertama.

Ketika membeli KDP ini beberapa bulan lalu, saya terpaksa membeli bersama kanta kerana tulisannya terlalu halus. Mata saya tidak mampu membacanya dengan selesa.

Saya tidak salahkan DBP menerbitkannya dengan tulisan sekecil itu. Kerana saya faham, jika DBP hendak sesuaikan penerbitannya dengan mata saya maka Kamus Dewan Perdana perlu ditebalkan kepada 10,000 halaman. Bukan 2,529!

ARIS HAZLAN ISMAIL 
Munsyi Dewan (Jawi)
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) – HARAKAHDAILY 9/3/2022

- Advertisement -