MH370 terus dikenang, harap misteri terungkai

Lapan tahun kehilangan pesawat MAS itu sejak 8 Mac 2014

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semalam genaplah lapan tahun tragedi kehilangan misteri pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Kehilangan pesawat yang membawa 239 orang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing itu yang hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam setelah berlepas, menjadi detik hitam dalam lipatan sejarah penerbangan negara, bagaimanapun terus dikenang.

- Advertisement -

Tinjauan Bernama di platform media sosial menerusi tanda pagar #MH370, mendapati ramai netizen yang masih mengenangkan peristiwa pilu itu dan rata-rata mereka menitipkan doa serta ingatan terhadap mereka yang terlibat selain menaruh harapan agar misteri tragedi itu dapat dirungkai.

Pengarah Urusan Kumpulan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) Dato’ Seri Dr Irmohizam Ibrahim adalah antara yang sempat berkongsi catatannya di Facebook.

“Lapan tahun berlalu, #MH370 sentiasa dekat di hati kita. Saya ingin mengucapkan sedalam-dalam takziah kepada semua ahli keluarga yang telah kehilangan insan tersayang pada tarikh tragis ini,” katanya.

Bekas Menteri Pengangkutan Tan Sri Liow Tiong Lai yang turut berkongsi mengenai peristiwa itu turut berdoa agar keluarga semua mangsa yang terlibat diberikan kekuatan untuk menempuh kehidupan.

“Saya berdoa agar keluarga mangsa diberikan kekuatan untuk meneruskan kehidupan di masa-masa akan datang tanpa orang yang mereka sayangi dan berharap agar suatu hari nanti dapat menemukan jawapan yang dicari selama ini dan seterusnya mendapatkan penyelesaian kepada tragedi malang ini,” katanya.

Perasaan simpati turut dizahirkan pengguna Facebook Norhashila Shila yang berkata, “eight years ago… mungkin time ini setiap penumpang #MH370 dah bersemangat untuk sampai ke destinasi dan pelbagai tujuan seperti kerja, honeymoon, kursus, study… tiada disangka itulah perjalanan terakhir mereka, tiada jasad, tiada pusara.”

Pengguna Facebook Ariqa Adila pula berkata “masih ingat lagi masa jadi part of the call centre team di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). When received calls from the family members.”

“(apabila menerima panggilan daripada ahli keluarga) dan waris keluarga, sebak pilu semua ada. Semoga keluarga mangsa kekal tabah. Salam takziah dan al-Fatihah.”

Di laman Twitter, peristiwa yang menggemparkan negara itu turut mendapat perhatian.

Pemegang akaun Twitter @mrfirdausjailan menerusi ciapannya berkata, “A long night for 239 souls on board. A long journey for everyone to solve the most mysterious case in aviation history. May all the souls will be found because right now we only have this recording in remembering #MH370.”

“(Malam yang panjang bagi 239 insan di dalam kapal. Tempoh yang panjang bagi setiap orang untuk merungkai kes paling misteri dalam sejarah penerbangan. Semoga mereka semua ditemukan kerana ketika ini, kita hanya mempunyai rakaman ini dalam mengingati #MH370).” 

Seorang lagi pengguna Twitter, @anirudh_2103_ pula berkata, “Today marks the 8th anniversary of the disappearance of Malaysian Airlines Flight 370. It’s shocking how a plane can disappear without any trace in this day and age. I’m hoping for the plane to be found soon and I hope the families get closure.”

“(Hari ini menandakan ulang tahun ke-8 kehilangan Penerbangan Malaysia Airlines 370. Sungguh mengejutkan apabila pesawat ini hilang tanpa dapat dikesan pada zaman ini. Saya berharap pesawat dapat ditemukan segera dan keluarga dapat menerima kenyataan).” 

Sementara itu, selebriti tanah air, Sherry Ibrahim melalui akaun Instagramnya pula berkata, “Loving remembrance of 239 passengers and crew who tragically left us eight years ago, Forever in the hearts of those who love them. As one of the ex-Malaysia Airlines crew,  I would like to send my love to all #MH370 families.”

“(Kenangan penuh kasih kepada 239 penumpang dan anak kapal yang secara tragis meninggalkan kita lapan tahun lalu, selamanya di hati insan yang mencintai mereka. Sebagai seorang daripada bekas kru Malaysia Airlines, saya ingin menyampaikan kasih sayang saya kepada semua keluarga #MH370).”

Pada Ahad lepas (6 Mac), Menteri Pengangkutan Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong dilapor berkata aspirasi kerajaan Malaysia untuk mengesan pesawat MH370 tidak pernah dilupakan.

Simpati dengan kehilangan dan kesengsaraan mereka yang terjejas susulan tragedi kehilangan misteri MH370, Wee berkata Malaysia juga menimbang dengan teliti serta mengkaji semua maklumat baharu yang boleh dipercayai bagi mengenal pasti lokasi pesawat itu. 

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing namun hilang daripada skrin radar kira-kira dua jam setelah berlepas.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di Selatan Lautan Hindi namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan. – BERNAMA

- Advertisement -