Khatan: Pemuda PAS Kinabatangan, PAPISMA bantu penduduk

- Advertisement -

Oleh BASITH SAMAD

KINABATANGAN:
Wabak Covid-19 bukan sahaja menjadi punca perkembangan ekonomi terbantut, malah menyebabkan kesan sampingan terhadap kehidupan rakyat.

Antaranya kos berkhatan bagi seorang kanak-kanak sekarang meningkat antara RM200 hingga RM250 di Sabah. Kos tersebut termasuk perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum berkhatan.

- Advertisement -

Ketua Pemuda PAS Kinabatangan, Abdul Aziz Baitul Makmur berkata, peningkatan kos berkhatan memberi kesan kepada keluarga B40.

Oleh itu katanya Pemuda PAS Kinabatangan menganjurkan program Khatan Nusantara yang diadakan di Dewan terbuka Masjid Al-Ghafar semalam bagi membantu penduduk miskin.

“Seramai 65 kanak-kanak menyertai program anjuran Pemuda PAS Kinabatangan dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA).

“Kita merakam ucapan terima kasih kepada PAPISMA Terengganu kerana sanggup datang ke Kinabatangan bagi membantu masyarakat di sini.

“Alhamdulillah dengan bantuan PAPISMA kita berjaya mengurangkan kos perbelanjaan khatan kepada hanya RM50 seorang,” katanya di sini.

Kata beliau pengurangan kos tersebut menyebabkan sambutan masyarakat terhadap program Khatan Nusantara menggalakkan terutamanya golongan B40.

Menurutnya juga Pemuda PAS Kinabatangan berusaha meringankan beban mereka dalam melaksanakan kewajipan bagi setiap Muslim.

“Program tahunan ini amat signifikan dalam situasi sekarang kerana ramai terkesan dengan penularan Covid-19.

“PAPISMA banyak membantu dengan menyediakan doktor yang berpengalaman bagi menjayakan program tersebut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/3/2022

- Advertisement -