Gerak kerja kempen DHPP Kelantan di DUN Paloh lancar

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KLUANG:
Jentera kempen daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kelantan bergerak lancar di kawasan penempatan masyarakat Cina di DUN Paloh.

Ketuanya, Lim Guan Seng berkata, mereka menerima pelbagai maklum balas daripada penduduk setempat.

- Advertisement -

“Kita bergerak dari rumah ke rumah di kawasan Cina sahaja, sebab Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kelantan diberi amanah untuk bergerak di kawasan penduduk Cina.

“Jadi beberapa taman sudah kita telah turun untuk buat agihan poster dan sebagainya. Jadi banyak taman-taman yang kita turunlah. Chamek sudah kita turun sebab di sana juga ramai orang Cina,” ujarnya ketika ditemui di Bilik Gerakan DUN Paloh, dekat sini, hari ini. Turut serta ialah Ketua Penerangan DHPP Kelantan, Lau Chin Chua yang mesra dengan panggilan Cikgu Lau.

Menurutnya, selain daripada penempatan kaum Cina, mereka juga bergerak di kawasan penduduk sekitar pekan Paloh termasuk dalam kalangan Melayu dan India.

“Ada tempat-tempat sambutan okey lah, ada tempat-tempat itu nampak kurang respons, ada tempat tu maklum balas ramai orang tahu (Perikatan Nasional).

“Cuma dia orang sekarang ini keliru dengan warna sahaja, warna menjadi masalah,” jelasnya.

Katanya, terdapat dalam kalangan pengundi Cina yang berumur keliru dengan Perikatan Nasional.

“Kita sudah cakap Perikatan Nasional tapi dia sebut belakang ‘Nasional’,” ujarnya yang berada di Kawasan DUN Paloh sejak 3 Mac lalu.

Menurutnya, pagi tadi pasukan DHPP Kelantan berkempen di taman belakang bilik gerakan di pekan Paloh yang menerima maklum balas yang baik.

“Bila kita sebut Abah (Tan Sri Muhyiddin) tu dia tahu dah. Bila kita kempen kata team Abahlah. Kena tonjolkan Abah dulu, ramai orang-orang Cina ini bila kita sebut Abah dia tahu, baru kita perkenalkan calon kita,” tambahnya.

Dari segi cabaran, katanya jentera DHPP Kelantan bertembung dengan para petugas daripada MCA Kelantan di kawasan itu.

Bagaimanapun, kata beliau  situasi itu tidak menjejaskan gerak kerja untuk berkempen kepada calon Parikatan Nasional.

“Kita bertembung dengan MCA Kelantan datang kempen di sini. Sebab di sini ada calon MCA. Kita ada calon kita Perikatan Nasional. Di sana kawan kita, di sini lawan kita. Kita mesti kempen calon kita,” ujarnya lagi.

Calon Perikatan Nasional di DUN Paloh ialah Ketua DHPP Johor, Selvendran Velu yang berhadapan dengan calon PH, Sheikh Umar Bagharib Ali, Lee Ting Han (BN-MCA) dan Aminuddin Johari (Pejuang). – HARAKAHDAILY 9/3/2022

- Advertisement -