Integriti: Musibah rasuah dan pendosanya

- Advertisement -

BILA sebut mengenai integriti, menunaikan amanah adalah faktor yang utama. Lawan amanah ialah khianat atau ada juga yang sebut ‘pecah amanah’. Inilah punca sebenar terjadinya banyak kesulitan dan musibah yang timbul di kalangan rakyat.

Antara penyakit kronik seumpama amalan rasuah adalah berpunca daripada pecah amanahlah ia. Rasuah yang membarah itu tiada ramai yang ambil peduli sangat. Sebab itulah ia melarat bangat.

- Advertisement -

Berapa banyak kerananya hilang akan tanah rezab Melayu dan tak terganti. Berapa banyak tanah tol yang terlepas akibat rasuah bawah meja dan atas meja atas tajuk mesra iaitu duit kopi sahaja.

Banyaklah juga terjerat dengan ‘Rasuah komisyen’. Kata-kata: ‘Ingat! Saya tandatangan ni! Jangan lupa!

Islam sangat memusuhi rasuah sehinggakan Nabi Muhammad S.A.W telah pun bersabda yang bermaksud:

“Pemberi rasuah dan penerimanya kedua-duanya masuk neraka.”

Banyak isu-isu rasuah sama ada baharu atau lapuk, semuanya melingkupkan negara. Isu kos kajian kebolehlaksanaan Terowong Bawah Laut di Pulau Pinang negeriku antaranya cukup tak guna di mana pemain-pemainnya itu yang pernah didakwa oleh SPRM dahulu. Kos kajian itu menelan belanja sebanyak RM305 juta.

Kebanyakan konsultan yang berpengalaman menyatakan kos tersebut dalam lingkungan RM50 juta sahaja. Berapa kali ganda depa makan? Cara bayaran tersebut oleh kerajaan negeri yang diterajui DAP itu pula ialah tukar dengan tanah kerajaan.

Tengok! Pandai ke tak pandai permainan depa. Di mana pemaju sudahpun mendapat tanah dan telah pun dibangunkan, sedangkan laporan dan kemajuan projek tersebut, entah ke mana tak tahulah. Tidakkah hal sedemikian merugikan kerajaan dan rakyat Pulau Pinang?

Itulah jadinya apabila rasuah tidak dipedulikan, merosakkan segenap lapisan kepimpinan dari atas sehinggalah ke bawah juga. Insaflah! Sebelum turun ke dalam lubang tanah 7 kaki. Ketika itu tiada gunanya.

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya 
PAS Negeri Pulau Pinang – HARAHDAILY 7/3/2022

- Advertisement -