Al-Quds sentiasa di hati rakyat Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setelah hampir sembilan hari sambutan Minggu Al-Quds Sedunia peringkat Malaysia dilancarkan pada 25 Februari yang lalu, segala aktiviti dan perancangan telah berjalan dengan sangat baik dan kini sedang mendekati acara kemuncak.

Pengerusi Aid4Palestin, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perjalanan Jelajah Al-Quds yang dikepalai pasukan Ride 4 Al-Quds setakat hari ini telah menjelajah sembilan negeri di Semenanjung dengan membawa risalah mesej kesedaran Al-Quds kepada rakyat Malaysia.

“Kita telah selamat menjelajah negeri Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

- Advertisement -

“Alhamdulillah pasukan konvoi yang diketuai Alternative Riding Club (ARC) kini berada di Negeri Sembilan dan bakal meneruskan perjalanan ke negeri Selangor pada hari ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan jelajah Al-Quds akan mengakhiri konvoi dakwah ini pada majlis kemuncak Minggu Al-Quds Sedunia Malaysia yang bakal berlangsung pada 6 Mac di Putrajaya.

Di samping aktiviti jelajah, ujarnya pelbagai wacana ilmiah dan pengisian yang melibatkan NGO dan agensi kerajaan juga berjaya dilaksanakan dengan cukup cemerlang hasil kerjasama yang positif oleh semua pihak.

Katanya, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menyampaikan syarahan dalam Forum Perdana Ehwal Islam di RTM pada 3 Mac yang lalu serta meneruskan perkongsian ilmu dengan rakyat Malaysia pada malam 4 Mac yang bersiaran di TV Al-Hijrah.

Beliau yang mewakili sekretariat program, Aid4Palestine dan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kerajaan Terengganu, Kedah, Kelantan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Department of Alternative Culture and Sports (DACS DPPM) atas kerjasama dan sokongan jitu yang diberikan kepada sambutan Minggu Al-Quds Sedunia peringkat Malaysia.

Tambahnya, kesemua usaha dan program yang telah dilancarkan itu adalah bertujuan melibatkan seluruh lapisan masyarakat agar menjadikan perjuangan dan sokongan terhadap rakyat Palestin dan Baitulmaqdis adalah berteraskan nilai kefahaman yang benar dan tidak bermusim.

Katanya lagi, Sekretariat Aid4Palestine dan Pejabat Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ingin mengambil kesempatan ini untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyahut gelombang Minggu Al-Quds Sedunia dan memeriahkan Majlis Kemuncak Minggu Al-Quds Sedunia yang akan dijayakan pada 6 Mac ini bertempat di Auditorium JAKIM, Putrajaya.

“Insya Allah kita tidak akan berhenti di sini dalam menzahirkan semangat kecintaan terhadap bumi Palestin dan Baitulmaqdis,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/3/2022

- Advertisement -