Skuad Bomba, NGO gerak misi bantu mangsa banjir

- Advertisement -

Oleh TUAN ARJUNA | Foto SKUAD KEBAJIKAN BOMBA KELANTAN

PASIR MAS:
Skuad Kebajikan Bomba dengan kerjasama NGO menjalankan misi membantu mangsa banjir yang terjejas di Kelantan.

Pangarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Zainal Madasin berkata, misi itu memberi tumpuan kepada sembilan keluarga yang terpaksa bermalam di tepi jalan.

- Advertisement -

Katanya, mangsa banjir terbabit bermalam di tempat lebih tinggi selepas rumah mereka ditenggelami banjir.

Kata beliau program ‘Kito Saye Demo 2.0’ itu disertai 30 sukarelawan termasuk 10 anggota Bomba dan Penyelamat dan NGO yang bernaung di bawah Skuad Kebajikan Bomba.

“Ini merupakan program kali kedua diadakan, di mana kali pertama kami membantu mangsa banjir di Selangor selepas skuad ini ditubuh akhir tahun lepas bersama NGO.

“Program ini dijalankan sebagai usaha membantu masyarakat yang terkesan dengan bencana,” katanya selepas gotong royong mencuci dan penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Gual Mesa, dekat sini hari ini.

Menurutnya juga pihaknya menyampaikan pelbagai barangan keperluan asas termasuk tilam, dapur, kit solat, kit kebersihan dan makanan untuk meringankan beban mangsa banjir.

Zainal juga berkata, misi bantuan itu turut disertai Persatuan Amal dan Kebajikan Bencana Malaysia dan NGO Serantau Muslim turut membersih rumah dan mengagih sumbangan kepada mangsa banjir.

“Sumbangan ini sebagai tanda prihatin JBPM dan NGO kepada mangsa banjir di Pasir Mas dan Rantau Panjang bagi melahirkan kesejahteraan hidup masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/3/2022

- Advertisement -