Dato’ Che Lah redah bah bantu mangsa banjir

Agih makanan menggunakan bot untuk memastikan tiada mangsa kelaparan

- Advertisement -

TUMPAT: Demi memastikan tiada mangsa banjir yang terpaksa berlapar akibat terputus bekalan makanan, Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi gigih menggunakan bot meredah bah sejauh tiga kilometer.

Che Abdullah berkata sebanyak 500 pek makanan asas termasuk beras, minyak dan sardin diagihkan kepada penduduk di 10 kampung di sekitar Daerah Tumpat yang terjejas banjir sejak Ahad lepas dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), penduduk serta polis.

- Advertisement -

Katanya, pek makanan tersebut disalurkan menerusi penghulu kampung terbabit untuk diberikan kepada penduduk di kawasan masing-masing antaranya Kampung Kubang Sawa, Kuala Jambu, Bendang Pak Yong, Simpangan, Kajang Sebidang dan Teluk Jering.

“Bantuan diagihkan kepada penduduk yang terjejas banjir termasuk mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara dan ia akan diperluas ke beberapa kampung di pinggir Sungai Kelantan dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk di Kampung Kajang Sebidang di sini semalam.

Seorang penerima Saudah Mat, 65, menzahirkan penghargaan atas sumbangan yang diberikan.

“Syukurlah ada wakil rakyat yang prihatin dengan nasib penduduk sehingga sanggup meredah banjir bagi menyampaikan sumbangan kepada kami, sekurang-kurangnya ada pihak yang ambil peduli ketika kami dilanda musibah.

“Banjir ini rutin bagi penduduk di sekitar sini, tetapi kebiasaannya kami akan terkepung kerana paras air melebihi tiga meter dan akan surut sekitar 10 hingga 14 hari bergantung kepada cuaca,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/3/2022

- Advertisement -