Calon PN bakal wakil rakyat berintegriti

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

BATU PAHAT:
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua calon PN yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sentiasa menjunjung nilai integriti sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di DUN masing-masing.

Menurutnya, pemimpin berintegriti merupakan teladan terbaik untuk melahirkan rakyat berintegriti sepertimana sabda Rasulullah SAW bermaksud, ‘setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab ke atas orang yang dipimpin.’

- Advertisement -

“Melahirkan kepimpinan yang berintegriti bermula daripada kita. Sebagai calon-calon wakil rakyat yang akan dipilih oleh rakyat negeri Johor untuk mentadbir negeri Johor kelak, anda semua memikul satu amanah yang berat dan tanggungjawab yang besar untuk memastikan nilai integriti sentiasa dijunjung,” katanya.

Beliau turut menegaskan calon-calon PN bertanding supaya mengambil iktibar daripada pentadbiran kerajaan persekutuan sebelum ini yang banyak berlaku penyelewengan terhadap harta negara.

“Jenayah penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd adalah antara contoh klasik bagaimana berbilion wang negara hilang begitu sahaja dan sebahagiannya masuk ke dalam akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib.

“Di Parlimen semalam dia kata itu bukan duit rakyat. Itu duit Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain. Dia lupakah yang 1MDB menerbitkan bon-bon yang dijamin oleh kerajaan.

“Apabila 1MDB gagal membayar hutangnya, kerajaanlah yang terpaksa membayar yang keseluruhannya berjumlah RM50 bilion sehingga tahun 2039. Dlm RMK12, sebanyak RM21 bilion diperuntukkan untuk membayar hutang 1MDB. Ini duit rakyatlah,” jelas beliau.

Katanya, jumlah wang yang dibayar bagi melunaskan hutang 1MDB berjumlah RM21 bilion boleh dimanfaatkan kepada rakyat bagi membangunkan fasiliti seperti sekolah, hospital, jalanraya, landasan keretapi laju, akses internet dan lain-lain.

Malah katanya, lebih banyak bantuan prihatin, biasiswa dan subsidi boleh disediakan kepada golongan yang memerlukan.

Ujarnya, hal ini berlaku disebabkan sikap pemimpin tidak berintegriti, tidak amanah, puluhan bilion wang negara hilang begitu sahaja dan rakyat terpaksa menanggung beban hutang yang ditinggalkan.

“Najib juga kata gunalah duit yang dikutip semula daripada Goldman Sachs, Delloit dan lain-lain untuk bayar hutang 1MDB.

“Inilah dia pemimpin yang bukan sahaja tidak amanah, tetapi tidak tahu malu. Yang pergi cari duit 1MDB yang disorok oleh Najib dan konco-konconya di luar negara itu ialah sebuah Pasukan Petugas Khas yang saya tubuhkan ketika saya menjadi Perdana Menteri.

“Saya arahkan mereka pergi ke luar negara berunding dengan pihak-pihak berkuasa beberapa buah negara untuk dapatkan kembali duit dan aset yang diseleweng dan masukkan semula ke akaun kerajaan Malaysia.

“RM20.5 bilion nilai keseluruhannya termasuk aset yang dirampas. Kalau Najib masih Perdana Menteri dia soroklah duit itu dan takkan masuk semula ke akaun kerajaan,” jelasnya.

Muhyiddin berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Ikrar dan Tandatangan Akujanji Integriti Calon Perikatan Nasional PRN Johor 2022 yang berlangsung di Senai, hari ini.

Semua calon-calon Perikatan Nasional wajib menurunkan tandatangan akujanji dan melafazkan ikrar bagi aku janji anti rasuah dan integriti yang dilakukan di hadapan Muhyiddin.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan pimpinan-pimpinan Perikatan Nasional Pusat dan negeri. – HARAKAHDAILY 3/3/2022

- Advertisement -