80,000 hektar hutan projek perintis perdagangan karbon kredit

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Jabatan Perhutanan Kelantan merancang memanfaatkan kira-kira 80,000 hektar hutan perlindungan di negeri itu sebagai percubaan melaksana perdagangan karbon kredit.

Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, rundingan mengenainya diadakan dengan sebuah syarikat perdagangan karbon kredit yang berpangkalan di Singapura.

Katanya, berdasar perbincangan awal program itu mampu memberi keuntungan sehingga RM36 juta pada tahun pertama pelaksanaan, tanpa perlu menebang sebarang pokok hutan.

- Advertisement -

“Berdasar maklumat syarikat terbabit daripada 80,000 hektar hutan perlindungan, tahun pertama boleh mendapat pulangan USD9 juta (RM36 juta).

“Lagi pun menjelang akhir tahun ini Bursa Saham akan membenarkan trading kredit karbon. Jadi kita akan lantik trader kita sendiri,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Hadir sama pada pertemuan itu wakil Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri (UPKN).

Abdul Khalim yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang karbon kredit berkata, Kelantan mempunyai 161,000 hektar hutan perlindungan yang berpotensi menyumbang pengurangan pengeluaran karbon.

Menurutnya program terbabit tidak melibatkan sebarang aktiviti termasuk pembalakan.

“Kita ada 161,000 hektar hutan perlindungan dan kita akan guna bagi memberi pulangan tanpa perlu tebang pokok hutan,” katanya.

Kelantan sebelum ini menjadi peneraju dagangan karbon kredit dan yang pertama di Malaysia menjalankan jalinan kerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam fasa membangunkan skim perdagangan karbon peringkat domestik dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF) dan pihak berkaitan termasuk Bursa Malaysia bagi membolehkan harga karbon di pasaran domestik sentiasa berdaya saing serta kompetitif. – HARAKAHDAILY 2/3/2022

- Advertisement -