Perkembangan sepintas lalu krisis Ukraine

- Advertisement -

Kesatuan Eropah (EU) sasarkan 70 peratus pasaran perbankan Rusia
Ketua Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen, berkata pemimpin EU bersetuju mengenakan sekatan terhadap Moscow dengan mensasarkan 70 peratus pasaran perbankan Rusia dan syarikat utama milik negara, termasuk di sektor pertahanan.

Taiwan kenakan sekatan terhadap Rusia
Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang, berkata kerajaannya turut menyertai negara demokratik lain mengenakan sekatan terhadap Rusia kerana menceroboh Ukraine. Namun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai bentuk sekatan itu.

Krisis di timur Eropah dipantau rapi oleh Taiwan yang dituntut oleh China sebagai wilayah negara itu. China turut mengenakan tekanan ketenteraan sejak lebih dua tahun lalu terhadap negara pulau itu.

- Advertisement -

Australia kenakan sekatan terhadap Rusia, kritik respon China
Australia akan mengenakan lebih banyak sekatan terhadap Rusia dengan mensasarkan golongan elit dan ahli politik negara itu. Negara itu juga tidak dapat menerima tindakan China yang melonggarkan halangan perdagangan dengan Moscow ketika ini.

“Kami bekerjasama dengan rakan kami untuk membuat gelombang sekatan dan terus meningkatkan tekanan terhadap Rusia,” kata Perdana Menteri Australia, Scott Morisson.

Zelenskyy: 137 rakyat Ukraine terkorban pada hari pertama serangan
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berkata 137 orang awam dan tentera negaranya terkorban pada hari pertama pencerobohan Rusia.

Beliau menyifatkan mereka sebagai hero dalam perutusan melalui video dan turut memberitahu bahawa 316 orang penduduk negaranya cedera.

“Rusia membunuh penduduk negara ini dan menjadikan bandar yang aman sebagai sasaran tentera. Perbuatan ini tidak dapat dimaafkan,” kata Zelenskyy.

Jepun perketatkan sekatan terhadap Rusia
Perdana Menteri, Kishida berkata negaranya meningkatkan sekatan terhadap Rusia dalam beberapa sektor, termasuk institusi kewangan dan eksport peralatan ketenteraan.

Katanya, Jepun juga akan melakukan yang terbaik untuk mengehadkan kesan ekonomi akibat krisis Ukraine terhadap negara itu.

Penduduk Kyiv bimbang kemaraan tentera Rusia
Penduduk di Kyiv terkejut dengan serangan Rusia terhadap Ukraine.

Anna Dovnya berkata, mereka tidak pernah terfikir pencerobohan itu akan membabitkan Kyiv selepas beberapa letupan kedengaran di ibu negara Ukraine.

“Sehingga saat-saat akhir, saya tidak percaya ini akan berlaku. Saya sangka hanya membabitkan bandar Donetsk dan Luhansk (bandar dikuasai puak pemisah Ukraine yang pro-Moscow),” katanya.

Hayan Babokoy pula berkata, hampir semua penduduk kejiranannya meninggalkan rumah masing-masing.

Oleksandra Shustik yang menggesa seluruh dunia menghentikan kemaraan Rusia berkata: “Saya benci negara yang memulakan peperangan ini. Saya bercakap sebagai ibu dan sebagai warga Ukraine. Saya pinta seluruh dunia membantu kami, hentikan penceroboh ini.”

Rumah Putih dakwa cita-cita Putin melangkaui Ukraine
Rumah Putih mendakwa Putin mempunyai cita-cita yang lebih besar dan bukan sekadar Ukraine.

New Zealand umum sekatan perjalanan, hadkan perdagangan terhadap Rusia
New Zealand mengenakan sekatan perjalanan terhadap Rusia dan melarang perdagangan barangan membabitkan pasukan tentera dan keselamatan Rusia

“Seluruh dunia bersuara dan menghantar mesej jelas kepada Rusia bahawa apa yang dilakukan di Ukraine adalah salah dan mereka dikecam di seluruh dunia,” kata Perdana Menteri, Jacinda Ardern. – ALJAZEERA

- Advertisement -