Pastikan akidah anak Loh Siew Hong tidak terusik

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa PAS, Kamaruzaman Mohamad akan mencari ruang untuk meneliti isu akidah tiga kanak-kanak yang memeluk Islam namun berada di bawah jagaan ibu, Loh Siew Hong yang bukan beragama Islam.

Menurutnya, isu akidah tiga kanak-kanak itu adalah isu yang besar, walaupun pada dasarnya ialah isu membabitkan hak penjagaan anak.

Justeru, pihaknya akan memastikan, akidah tiga kanak-kanak itu tidak terusik dan tidak diganggu gugat oleh pihak yang telah mendapat hak jagaan kanak-kanak itu, walaupun ibu mereka sendiri.

“Berdasarkan keputusan mahkamah hari ini, kita akan beri perhatian isu ini dan bekerjasama dengan seluruh kumpulan peguam yang mewakili kes ini dari semasa ke semasa.

“Saya secara peribadi, memberikan sokongan sepenuhnya kepada Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan barisan peguam yang memperjuangkan isu kanak-kanak ini.

“Saya faham, lanjutan kes ini akan memberi kesan kepada isu akidah jika tidak diuruskan dengan baik oleh pihak berwajib di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily, semasa hadir memberi sokongan kepada MAIPs, dan Ustazah Nazirah Nanthakumari Abdullah di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan habeas corpus oleh Loh Siew Hong bagi mendapatkan semula hak penjagaan tiga anaknya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Loh selepas mendengar hujahan daripada peguamnya dan peguam yang hadir mewakili Nazirah Nanthakumari Abdullah. – HARAKAHDAILY 21/2/2022

- Advertisement -