Siasatan kekacauan Kazakhstan: Bekas Menteri Pertahanan ditahan

NURSULTAN: Bekas Menteri Pertahanan Kazakhstan, Murat Bektanov, ditahan selepas pendakwa raya melancarkan siasatan terhadapnya kerana gagal menjalankan tugas ketika kekacauan melanda negara itu, bulan lalu.

Pejabat Pendakwa Raya Kazakhstan mengumumkan penahanan Murat, hari ini.

Advertisement

Presiden Kassym-Jomart Tokayev, menyifatkan kekacauan yang meragut lebih 200 penduduk negara Asia Tengah yang kaya dengan minyak itu sebagai percubaan merampas kuasa.

Selain Murat, pihak berkuasa menahan seorang lagi pegawai kanan, iaitu bekas Ketua Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan yang didakwa khianat dan menyalahgunakan kedudukannya.

Tokayev memecat Murat sebagai menteri bulan lalu dengan alasan tidak menunjukkan inisiatif sepanjang kekacauan itu.

Murat dilaporkan ditahan di bandar ini yang juga ibu negara bekas Kesatuan Soviet yang mempunyai 19 juta penduduk.

Siasatan berterusan

Pihak berkuasa menyatakan bahawa siasatan kekacauan pada Januari lalu, masih dilakukan dan tidak menamakan dalang lain kecuali bekas ketua keselamatan dan beberapa penolongnya.

Bantahan bulan lalu bermula secara kecil-kecilan di bandar terpencil, Zhanaozen, berhubung kenaikan harga bahan api dan kemudian dengan pantas merebak ke seluruh negara, termasuk bandar terbesar Kazakhstan, Almaty.

Tokayez memegang tampuk pemerintahan selepas bekas Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayez, meletak jawatan pada Mac 2019.

Bagaimanapun, Nazarbayez yang berkuasa sejak 1990, mempunyai pengaruh yang amat besar di negara itu menyebabkan sebahagian besar rakyat yang tidak berpuas hati pergi ke jalanan untuk menyuarakan perasaan mereka.

Krisis itu memaksa Tokayez mendapatkan bantuan ketenteraan dari Rusia dan beberapa negara bekas Kesatuan Soviet untuk mengembalikan keamanan.

Bagaimanapun, tindakan kerajaan selepas kekacauan itu dilihat memberi tumpuan terhadap sekutu Nazarbayez dalam kerajaan dan ahli keluarganya yang mempunyai banyak kepentingan dalam pelbagai perniagaan utama negara itu – REUTERS