Pemuda PAS Maran cakna kebajikan amilinnya

- Advertisement -

MARAN: Pemuda PAS Kawasan Maran telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan kewangan kepada amilinnya , Fakhrurrazi Ramli, 38, yang menderita sakit kencing manis dan buah pinggang baru-baru ini.

Difahamkan, beliau telahpun mengidap penyakit itu sejak berusia 20 tahun lagi, namun sejak tahun lalu ia menjadi semakin parah di mana pada Oktober tahun lalu juga terpaksa dipotong sebahagian kaki kanannya.

- Advertisement -

Bukan setakat itu sahaja derita yang ditanggung Fakhrurrazi, tetapi pada awal tahun ini pula beliau telah disahkan mengidapi penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan dialisis dengan kos RM1,200 seminggu.

Beliau sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, kini sudah tidak mampu lagi melakukan pekerjaan tersebut untuk mencari nafkah dan sekarang ini hanya tinggal menetap bersama ayahnya di FELDA Ulu Jempol, di sini.

“Syukur alhamdulillah, permohonan pembiayaan untuk rawatan dialisis saya dengan pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Cawangan Jengka telah diluluskan.

“Bermula bulan ini (Februari) mereka akan bagi (zakat) dan juga sedang menunggu pembiayaan dari Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Terima kasih kepada Pemuda PAS yang datang ziarah dan sudi hulur sumbangan kepada saya, semoga dapat mengurangkan beban kami sekeluarga untuk menampung kos rawatan saya sebelum menerima zakat dari MUIP kelak,” katanya lagi. 

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Maran, Ustaz Abdul Latiff Abdul Latiff memaklumkan, Fakhrurazi sebelum ini memang aktif dengan program-program Alternative Riding Club (ARC) Pemuda PAS Maran termasuk berkonvoi ke Perlis. 

“Saya berharap dan berdoa supaya beliau terus bersabar dan tabah menghadapi ujian yang berat ini dan di samping itu juga dapat mengisi masa dengan mendengar kuliah-kuliah agama secara ‘online’.

“Mudah-mudahan dengan sumbangan ini, dapat sedikit sebanyak membantu beliau dan keluarganya, insya-Allah,” katanya lagi. 

Dalam ziarah tersebut, Pemuda PAS Maran telah menyumbang RM2,000 kepada Fakhrurrazi yang turut sama dihadiri oleh Timbalan Ketua Pemuda PAS Maran, Nazirul Hazim Abd Manaf.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban beliau dan keluarga boleh melakukan demikian menerusi akaun Fakhrurrazi Ramli di 156011906263 akaun Maybank. – HARAKAHDAILY 20/2/2022

- Advertisement -