200 keluarga hilang tempat tinggal

- Advertisement -

Oleh RAMLAH ABU SUFIAN

KUDAT:
Sebanyak 179 buah rumah atas air di Kampung Landung Ayang di sini hangus terbakar petang kelmarin.

Bagaimanapun, dilaporkan tiada mangsa terkorban dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4.20 petang itu.

- Advertisement -

Susulan itu, dianggarkan 200 keluarga dengan jumlah penduduk mencecah 1,600 orang keseluruhannya kehilangan tempat kediaman.

Sehingga kini semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PSS) bencana kebakaran di Dewan Tun Mustapha.

Menurut Yang Dipertua PAS kawasan, Ahmad Kapok, PAS Kudat amat bersedih dengan musibah yang berlaku dan merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa.

“Kami mengharapkan semua penduduk yang dilanda musibah dapat bersabar dengan ujian ini kerana setiap ujian pasti diiringi hikmah di sebaliknya.

“PAS Kudat cakna dengan bantuan yang diperlukan dan kami berusaha untuk membantu mangsa yang ditimpa musibah bagi meringankan beban yang ditanggung,” ujarnya lagi.

Menruutnya, antara sumbangan yang telah diedarkan ialah kain batik, kain pelekat, telekung, buku panduan solat, ubat-ubatan, vitamin, pakaian dan makanan.

Tambahnya, PAS Kudat masih membuka peluang mana-mana individu yang ingin menyalurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 560063056547 atas nama PASTI Al-Furqan dengan rujukan Tabung Kebakaran atau hubungi Ahmad di talian 014-5626054. – HARAKAHDAILY 18/2/2022

- Advertisement -