Kerajaan bantu petani rugi akibat bencana alam

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSSIN

BACHOK:
Kerugian yang dialami penanam tembikai di Kampung Kandis akibat ditenggelami air ekoran hujan lebat dua hari lepas mendapat perhatian kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pihaknya menunggu laporan daripada Jabatan Pertanian berkaitan kejadian tersebut.

Katanya, kerajaan menyediakan bantuan kepada petani dan penternak yang terlibat dalam bencana alam.

“Saya akan turun padang melihat tanaman yang tenggelam tersebut dan kita akan bantu sebaik mungkin.

- Advertisement -

“Diharap semua yang terlibat dapat menyediakan maklumat lengkap bagi memudahkan bantuan diagihkan,” katanya di sini.

Menurutnya juga petani di jajahan Pasir Puteh dan Bachok sering berdepan masalah tersebut sama ada banjir atau kemarau.

Sementara itu, Shafiah Mansor, 62, berkata tanaman tembikai yang diusaha seluas hampir dua ekar dibimbangi rosak kerana masih ditenggelami air antara 0.2 hingga 0.3 meter.

Katanya tembikai tersebut dijangka dapat dituai dalam tempoh dua minggu lagi dan sudah ditempah pemborong dari Pasir Puteh.

Bagaimanapun beliau berusaha mengurangkan takungan air dalam petak dengan mengepamnya keluar menggunakan jentera untuk mengelak buah menjadi buruk.

“Modal pusingan sebanyak RM15,000 bagi mengusahakan tanaman tembikai yang djangka menghasilkan pulangan antara RM30,000 hingga RM40,000 semusim,” katanya ketika ditemui di Kampung Kandis.

Hujan lebat melanda bahagian utara Kelantan malam semalam sehingga banyak kawasan rendah ditenggelami air. – HARAKAHDAILY 16/2/2022

- Advertisement -