Larang pelajar berhijab di India apartheid agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Antarabangsa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengutuk larangan berhijab ke atas pelajar perempuan di Karnataka, Mangaluru dan Chikmagalur, India.

Pengerusinya, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, ironi larangan oleh Kerajaan India yang seterusnya dibenarkan oleh sistem kehakiman adalah sikap apartheid agama sebuah negara yang mana wanitanya pernah diiktiraf sebagai perdana menteri dan ia sekali gus melanggar hak asasi manusia.

- Advertisement -

“Lajnah Antarabangsa DMPM dengan ini menyatakan solidariti terhadap wanita dan pelajar Muslimah India yang tegar memperjuangkan hijab dan menolak pemaksaan yang tidak bertamadun atas nama kesamarataan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, alasan keseragaman pemakaian di institusi pendidikan adalah superficial dan alasan tidak masuk akal, ia sekadar nama lain untuk membenarkan justifikasi penindasan agama.

Tambahnya, Lajnah Antarabangsa DMPM menyeru semua pihak agar menunjukkan pendirian yang sekata atas penindasan itu dan menzahirkan bantahan secara konsisten dan berkesan terhadap larangan itu sebagai satu nota bantahan antarabangsa terhadap India.

“Sesungguhnya larangan hijab ini tidak lagi relevan kerana dunia telah menyaksikan hijab tidak pernah menjadi penghalang terhadap imej dan kualiti kerjaya wanita Islam malah ia semakin menyerlah di seluruh pelosok benua,” katanya yang juga Exco Kerajaan Kelantan.

Oleh kerana itu, ujar beliau langkah menghalang pemakaian hijab merupakan langkah mengundur yang tidak wajar dibuat oleh India mahupun negara lain di dunia ini.

Dalam pada itu, bantahan atas talian terhadap isu tersebut boleh ditandatangani di https://chng.it/WHknQ2ZX – HARAKAHDAILY 15/2/2022

- Advertisement -