Agrobank perluas agen perbankan kecil di masjid

- Advertisement -

Oleh ZULKEFLI HUSIN

PASIR PUTEH:
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mengadakan pemeran di kawasan pedalaman di seluruh negara bagi membolehkan petani dan peladang mendapat infomasi berkaitan pelbagai bantuan disediakan kerajaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 11 Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pameran itu akan dilaksanakan secara berperingkat oleh agensi yang berkaitan.

Katanya petani yang tinggal di kawasan pedalaman akan didedahkan berkaitan bantuan pertanian jangka pendek dan panjang disediakan agensi di bawah MAFI.

- Advertisement -

“Agensi-agensi berkaitan juga diarahkan membantu petani bagi memudahkan mereka mendapat bantuan terutama tunjuk ajar mengisi borang permohonan bantuan.

“Usaha itu sebelum ini sudah dilaksanakan Agrobank dengan mempamer kejayaan melahirkan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS),” katanya selepas merasmikan Pelancaran Agrobank & Komuniti 2022 di Pertubuhan Peladang Cherang Rotan di sini, hari ini.

Turut hadir anggota Exco kerajaan negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Pada program tersebut Agrobank turut menyampaikan bantuan zakat berjumlah RM50,000 kepada 230 pelajar dan sumbangan RM10,000 kepada dua masjid.

Selain itu menyampaikan surat tawaran pembiayaan kepada lima pelanggan Agrobank membabitkan peruntukan RM1.4 juta.

Dalam perkembangan berkaitan Tengku Ahmad Badli berkata, tahun ini pihaknya akan mewujudkan Unit Bank Bergerak untuk memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Jeli dan Gua Musang.

“Di samping itu Agrobank juga bercadang menubuh cawangan baru. Langkah tersebut sebagai usaha tambahan untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk yang tinggal di kawasan terpencil,” ujarnya.

Selain itu katanya Agrobank akan memperluaskan lagi agen perbankan kecil di masjid-masjid dan koperasi untuk menyediakan perkhidmatan menyimpan dan mengeluarkan wang dalam jumlah yang kecil. – HARAKAHDAILY 15/2/2022

- Advertisement -