Serbuk Kunyit Bertang jana pendapatan suri rumah

- Advertisement -

RAUB: Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS) Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) membuka lembaran awal tahun dengan misi Jelajah Dapur Hijau sesi 2022 ke kilang membuat Serbuk Kunyit Bertang di Kampung Bertang, Sungai Koyan, baru-baru ini. 

Pasukan LATAS DMPM yang diketuai Dr Salmah Abd Rahman telah mengunjungi pengusaha dan pengasasnya, Dalmah Ismail bagi melihat sendiri proses membuat serbuk kunyit Bertang. 

Menyambung perusahaan keluarga turun temurun, Dalmah gigih mengembangkan perusahaan kunyit sejak beberapa tahun lalu.

- Advertisement -

Kunyit Bertang sudah tidak asing lagi dalam kalangan penggunanya di seluruh negara khususnya di negeri Pahang.

Jenama Kunyit Bertang diambil sempena nama kampung kelahirannya, Kampung Bertang, telah mendapat sambutan yang menggalakkan sejak dua tahun lalu di mana lebih 1,000 kilogram serbuk kunyit asli dihasilkan dalam tempoh 10 bulan.

Peningkatan jumlah keluaran ini sangat ketara setelah Dalmah menaik taraf kelengkapan kilangnya dari penggunakan peralatan tradisional kepada peralatan moden.

Perusahaan Kunyit Bertang tidak sahaja mampu memenuhi permintaan pasaran yang menginginkan keaslian produk, malah juga mampu menjana pendapatan yang lumayan terutama kepada suri rumah.

Selain dibantu oleh ahli keluarga, Dalmah juga mendapat sokongan yang kuat dari penduduk kampung Bertang sendiri.

Dari proses mendapatkan sumber bahan mentah, sehinggalah ke proses pemasaran, semuanya dilaksanakan sepenuhnya oleh penduduk kampung.

Selain dapat menyediakan peluang pekerjaan, Dalmah juga mampu membuka peluang perniagaan kepada orang tempatan.

Di samping hasil tuaian dari tanaman kunyit di kebun miliknya sendiri, Dalmah juga memperolehi bahan mentah daripada jiran-jiran yang menanam kunyit secara kecil-kecilan di rumah mereka.

Serbuk kunyit yang dihasilkan sangat berkualiti tinggi, halus dan 100 peratus asli tanpa sebarang campuran.

Ia dibungkuskan dalam dua bentuk, dijual dengan harga RM5 dan RM12 seunit.

Selain serbuk kunyit asli, Dalmah juga menghasilkan produk gorengan daun kunyit serta sabun herba kunyit yang telah mendapat tempat di hati pengguna biarpun masih baru diperkenalkan.

Kegigihan Dalmah dan kakitangannya untuk terus maju ke hadapan terserlah apabila beliau mula melebarkan produk keluarannya kepada penghasilan serbuk kunyit hitam yang memiliki nilai perubatan yang tinggi.

Minat yang mendalam dalam bidang keushawanan tidak menghalang Dalmah untuk mempelbagaikan produknya dengan penghasilan serbuk serai dan sambal.

Meskipun pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuhi, Dalmah terus teguh berpegang kepada prinsip ‘untungnya berbudi kepada tanah’.

Beliau percaya ‘jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

Dalmah mengajak semua suri rumah untuk sama-sama berusaha sepertinya sebagai jalan memperkukuhkan produk tempatan tanpa 100 peratus bergantung kepada produk luar. – HARAKAHDAILY 14/2/2022

- Advertisement -