UniMAP sedia terima semua pelajar, staf masuk kampus

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersedia menerima 100 peratus pelajar dan staf termasuk yang belum lengkap vaksinasi memasuki kampus itu bermula Mac ini.

Bagaimanapun untuk mengelak penyebaran wabak Covid-19, kemasukan pelajar ke kampus harus melalui saringan seperti yang ditetapkan kerajaan dan Pusat Pengurusan Keselamatan Kesihatan & Persekitaran Pekerjaan (COSHE) UniMAP.

- Advertisement -

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata pihaknya merakam ucapan terima kasih keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar pulang ke kampus.

Katanya pihak pengurusan akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan akan sentiasa dipatuhi.

“UniMAP juga bersedia memastikan langkah-langkah yang ditetapkan oleh KPT iaitu semua pelajar dan staf yang belum lengkap vaksinasi dibenarkan memasuki kampus selepas menjalankan Ujian RT-PCR tiga hari sebelum memasuki kampus dan Ujian RTK-Ag seminggu sekali.

“Di samping itu, pelajar antarabangsa yang lengkap divaksin dibenarkan masuk dengan tempoh kuarantin yang ditetapkan tujuh hari dan lima hari bagi yang lengkap divaksin dan menerima dos penggalak,” katanya pada kenyataan semalam.

Tambah beliau, pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) juga bakal dilaksanakan secara hibrid, manakala pelajar yang perlu menggunakan kemudahan makmal atau aktiviti riadah dan sukan dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi SOP ditetapkan.

“UniMAP menyambut baik kemasukan semula pelajar ke kampus dan perlu mematuhi SOP ketat kerana mahu memberi peluang pelajar menyesuaikan diri dan mengikuti PdP dengan lebih selesa dalam suasana kampus,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2022