UiTM, UMK rintis program akademik dwi ijazah

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Program Akademik Dwi Ijazah antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan program pertama diadakan di Malaysia menggabungkan dua program sarjana muda melibatkan dua universiti awam (UA).

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof Dato’ Ts Dr Roziah Mohd Janor, gabungan itu melibatkan program Ijazah Sarjana Muda Fakulti Sains Komputer dan Matematik dari UiTM dan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (UMK).

Kedua-dua program tersebut katanya, memperolehi status akreditasi penuh daripada Malaysian Qualification Agency (MQA).

- Advertisement -

“UITM dan UMK sentiasa komited untuk melahirkan graduan yang holistik dan berketrampilan dalam memenuhi keperluan guna tenaga di Malaysia melalui penyediaan peluang mendalami silang bidang bagi memperkaya kemahiran analitik dan pengetahuan pengedaran perniagaan kepada graduan.

“Program akademik dwi ijazah juga mendapat kelulusan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) pada Mac 2019. Sehubungan itu UiTM dan UMK mendapat kata sepakat untuk bekerjasama membangunkan program akedemik dwi ijazah yang mengabungkan kedua program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara kedua universiti berkenaan di Hotel Pedana, di sini hari ini.

Memorandum Perjanjian itu ditandatangani Prof Dr Roziah dan Prof Dr Nik Maheran Nik Muhammad yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMK.

Majlis bersejarah itu turut disaksikan yang menjalankan Tugas Rektor UiTM cawangan Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed serta Dekan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Prof Madya Dr Mohd Nor Hakimi Yusoff.

Sementara itu, Dr Nik Maheran berkata, program tersebut mempunyai jumlah kebolehpasaran pelajar yang tertinggi antara program yang ditawarkan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan dengan jumlah purata graduan seramai 300 orang.

Katanya, dengan penekanan pembelajaran secara hibrid yang memasukkan elemen TVET dengan pelaksanaan dan kerjasama pihak Industri ia menghasilkan pelajar yang holistik dan memenuhi keperluan industri.

“Untuk memastikan program ini sentiasa releven dan mencapai standard antarabangsa, dijalankan program mobiliti pelajar ke beberapa negara dan universiti bagi membuka minda dan berkongsi ilmu dalam mensarjanakan bidang logistik.

“Dengan perwakilan graduan logistik next generation di peringkat antarabangsa mewakili Malaysia, ia memberi gambaran yang baik di mana suara graduan kita mampu menerobosi jaringan antarabangsa,” katanya.

Kata beliau jalinan kerjasama UMK dengan UiTM merupakan sebuah institusi pengajian tinggi ulung bumiputera, di mana kedua-dua organisasi tersebut dapat memainkan peranan dengan baik bagi mengendalikan program double degree logistik dan statistik. – HARAKAHDAILY 13/2/2022

- Advertisement -