Perbezaan cara lantikan Khalifah Umar dan Uthman

- Advertisement -

SAIDINA ‘Umar dilantik untuk menjadi khalifah dengan Khalifah Abu Bakar yang mencalonkan nama beliau sebelum kewafatannya.

Sebaliknya, ‘Umar RA tidak menamakan sesiapa untuk menjadi penggantinya sebagai ketua negara sepertimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sebelum kewafatan Baginda.

Khalifah ‘Umar RA memanggil para Ahli Syura yang paling kanan seramai enam orang sahabat yang masih hidup daripada 10 orang sahabat utama yang mendampingi Rasulullah SAW. Sebahagiannya sudah wafat.

- Advertisement -

Lantas ‘Umar RA memanggil keenam-enam orang sahabat tersebut bagi memilih penggantinya. Enam orang sahabat tersebut ialah:

  1. ‘Uthman bin ‘Affan RA.
  2. Ali bin Abi Talib RA.
  3. ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA.
  4. Sa’ad bin Abi Waqqas RA.
  5. Al-Zubair bin al-‘Awwam RA.
  6. Talhah bin ‘Ubaidillah RA.

Adapun Abu ‘Ubaidah ‘Amir bin al-Jarrah RA pula sudah syahid akibat ditimpa wabak taun pada zamannya. Manakala, seorang lagi sahabat utama iaitu Sa’id bin Zaid RA ditolak pencalonannya sebagai khalifah.

Hal ini demikian kerana, Khalifah ‘Umar RA dengan tegas telah menolak pencalonan dan penglibatan ahli keluarganya sendiri iaitu Sa’id RA dalam perkara yang besar itu. Walaupun Sa’id RA juga termasuk dalam kalangan 10 orang sahabat yang paling kanan, tetapi ‘Umar RA mengecualikannya kerana Sa’id RA merupakan adik ipar dan saudara sepupunya.

Akhirnya, keputusan pemilihan khalifah pun diserahkan kepada Ahli Syura, dengan calonnya mestilah daripada kalangan enam orang yang paling kanan daripada 10 orang sahabat yang masih hidup itu. ‘Umar RA menegaskan sekali lagi supaya tidak dicalonkan Sa’id bin Zaid dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf.
Kesemua para sahabat yang dicalonkan sebagai khalifah itu, masing-masing tidak mencalonkan diri sendiri. Hal ini demikian kerana, mereka menyedari beratnya kewajipan yang diamanahkan serta buruknya sifat rakus diri dan mahu menjadi pemimpin, seterusnya menyebabkan tidak mendapat pertolongan Allah SWT.

Masing-masing lebih suka mengundurkan diri dan mencalonkan orang lain, bukan mencalonkan diri sendiri. Mereka menetapkan tiga orang calon sahaja pada awalnya iaitu ‘Uthman RA, ‘Ali KW, dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA. Apabila ‘Abd al-Rahman RA ditugaskan untuk menjadi pengurus pemilihan, maka beliau pun tidak dicalonkan.

Jadi, hanya tinggal dua nama yang paling tersohor iaitu ‘Uthman bin ‘Affan RA dan ‘Ali bin Abi Talib KW. Dalam keadaan itu, ‘Ali KW mencalonkan ‘Uthman RA dan sebaliknya ‘Uthman RA pula mencalonkan ‘Ali KW.

Sedangkan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA turun ke lapangan bagi membuat pertanyaan secara lebih terperinci daripada kalangan Muhajirin dan Ansar serta Muslimin dan Muslimat di semua lapisan masyarakat. Akhirnya, majoriti berpihak kepada ‘Uthman bin ‘Affan RA sebagai khalifah seterusnya.

Pada waktu subuh akhir bulan Zulhijjah tahun 23 H bersamaan 6 November tahun 644 M, ketika Suhaib al-Rumi RA selesai mengimamkan solat Subuh, muncullah ‘Abd al Rahman bin Auf RA. Sambil memakai serban yang dipakai oleh Rasulullah SAW, beliau mengisytiharkan pelantikan ‘Uthman bin ‘Affan RA sebagai khalifah ketiga selepas kewafatan ‘Umar bin al-Khattab RA di hadapan para sahabat Muhajirin dan Ansar RA.

Oleh itu, bagi mengesahkan pelantikan Khalifah maka dilaksanakan baiah (janji kesetiaan) agar berpegang kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya SAW serta berpandukan contoh dua orang khalifah yang terdahulu. Baiah dimulakan oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf RA, diikuti oleh ‘Ali bin Abi Talib RA, seterusnya oleh para sahabat RA. – HARAKAHDAILY 13/2/2022

- Advertisement -