Muafakat institusi pengajian Islam dan ulamak dimantapkan

- Advertisement -

MARAN: Pertubuhan Muafakat Pondok Se-Malaysia Pahang (PMPS) dan Majlis Taawun Pusat Pendidikan Islam Pahang (MANTAP) telah mengadakan Kunjungan Mahabah Santuni Ulamak, baru-baru ini. 

Pengerusi PMPS-MANTAP Pahang, Ustaz Roslan Md Esa memimpin ziarah tersebut mengadakan lawatan ke Pondok Darul Muhibbin atau lebih dikenali sebagai (Pondok Pok Kob) dan Pondok Ribath Attaufiq, Chenor, di sini.

- Advertisement -

Katanya PMPS-MANTAP yang digerakkan di bawah Dewan Ulamak PAS Negeri Pahang berhasrat mengangkatkan lagi martabat semua pondok dan maahad serta Sekolah Agama Rakyat (SAR) di seluruh negeri ini. 

“Dengan memfokuskan dari sudut peranannya dan kebajikan serta sumbangan kepada perjuangan Islam. Melalui kunjungan ini antaranya dapat mengeratkan lagi ukhwah dengan ulamak juga bertujuan untuk membina jaringan kolaborasi antara pusat-pusat pengajian Islam. 

“Hari ini kita telah dapat berbincang beberapa perkara, bertukar-tukar fikiran secara langsung dengan para ulamak di sini, berkongsi ilmu dan pengalaman serta berbincang mengenai hala tuju pelajar-pelajar selepas tamat pengajian mereka,” jelasnya. 

Ustaz Roslan juga berkata, pihaknya optimis dengan usaha ini, ianya dapat memperkukuhkan lagi kesepaduan pusat-pusat pengajian Islam di negeri ini dan akan meningkatkan lagi peranan ulamak sebagai benteng kekuatan umat Islam termasuk di dalam mendepani isu-isu semasa. 

“Bagi merealisasikan objektif PMPS-MANTAP ini tercapai, kami telah pun menyusun beberapa pertemuan yang serupa ini di pusat pengajian yang lain,” jelasnya lagi. 

Kunjungan mahabbah ini juga dihadiri sama oleh Ketua Ulama PAS Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud yang juga ADUN Damak dan ADUN Chenor, Ustaz Mujibur Rahman Ishak serta Yang Dipertua PAS Kawasan Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman.

Dalam kunjungan itu juga, Dewan Ulamak PAS Pahang dan PMPS-MANTAP turut menyampaikan sumbangan kewangan kepada kedua-dua pusat pengajian tersebut. – HARAKAHDAILY 13/2/2022

- Advertisement -