JAM bantu tabung darah Hospital Kinabatangan

- Advertisement -

Oleh BASITH SAMAD

KINABATANGAN:
Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kinabatangan menjalankan Amal Blood Donation 2022 (ABD22) untuk membantu menampung kekurangan bekalan darah di Hospital Kinabatangan.

Program itu diadakan dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Dun Lamag, Unit Tabung Darah Hospital Kinabatangan dan Masjid Al-Ghafar di dewan terbuka Masjid Al-Ghafar, semalam.

- Advertisement -

Komanden AMAL Kinabatangan, Hatem Zakaria berkata, melalui ABD22 secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi jalinan kerjasama antara AMAL dengan agensi kerajaan.

Katanya, program seumpama itu menjadi aktiviti tahunan AMAL untuk membantu Tabung Darah Hospital.

“Saya percaya, usaha tersebut akan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada warga Kinabatangan sekiranya kempen derma darah kerap dijalankan.

“Kami juga mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak dalam usaha menjayakan program seperti ini pada masa akan datang,” katanya di sini.

Menurut beliau ABD22 merupakan program pertama yang dikendalikan bersama Masjid Al-Ghafar tahun ini dan mendapat sambutan  menggalakkan daripada masyarakat.

“Selepas ini kami akan adakan di tempat berbeza kerana terdapat permintaan dari mukim lain yang bersedia bekerjasama dengan AMAL,” ujar beliau.

Beliau juga berharap masyarakat Kinabatangan lebih peka untuk bersama menderma darah kerana dengan ia dapat menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan. – HARAKAHDAILY 13/2/2022

- Advertisement -